Polis tumpaskan sindiket cuba seludup lebih 5 tan metrik minyak masak
Sejumlah 5.47 tan metrik minyak masak bersubsidi yang disyaki akan diseludup ke negara jiran berjaya dirampas pihak berkuasa dalam operasi yang diadakan di sekitar Kelantan dan Terengganu.
Operasi selama yang berakhir hari ini dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dan Terengganu dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga berjaya mengesan gerak-geri mencurigakan sindiket berkenaan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, pihaknya mengesan beberapa buah lori berisi minyak masak dipercayai dari Lembah Klang menuju ke Kelantan.
Menurutnya, hasil risikan, pihaknya menahan sebuah lori di Jelawat, Bachok dan mendapati proses pemindahan minyak masak dari lori tersebut ke dalam dua buah lori yang lain telah selesai dilakukan
"Susulan kes tersebut, dua tindakan lanjut turut berhasil melalui sekatan Jalan Raya di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.
"Hasil pemeriksaan ke atas dua buah lori, pihak kami telah menjumpai minyak masak paket sekilogram bersubsidi dengan jumlah anggaran sebanyak 5.47 tan metrik bersama dua pemandu dan seorang kelindan.
"Suspek lelaki berumur 20-an ditahan dan mereka mengaku dibayar untuk membawa minyak tersebut ke Pengkalan Kubor sebelum dibawa ke pangkalan haram oleh individu lain," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.
Sementara itu di Terengganu, Azanizam berkata, sepasukan penguat kuasa khas bertindak ke atas satu premis yang terlibat dengan transaksi pembelian minyak dari Lembah Klang.
"Modus operandi kali ini adalah dengan mendapatkan bekalan minyak masak dari luar Kelantan seterusnya dibawa ke tempat transit sementara bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Seterusnya, ia dibawa ke sempadan negara sebelum diseludup ke negara jiran," katanya.
Tambahnya, rampasan dalam operasi itu dianggarkan melibatkan nilai rampasan minyak masak RM13,685, dua buah lori satu tan dengan anggaran masing-masing RM 50,000 sebuah dan sebuah lori tiga tan anggaran RM100,000.
"Keseluruhan nilai rampasan adalah anggaran sebanyak RM 213,685 serta empat tindakan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," kata Azanizam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai