Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Syed Saddiq bentang laporan kutipan dana, jemput firma audit

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjemput Ernst & Young mengaudit program kutipan dananya “1 Keluarga 1 Laptop” dan “1 Keluarga 1 Tablet” yang berjaya mengumpul RM872,720.

Firma perkhidmatan profesional itu juga akan menetapkan kepadanya satu set amalan terbaik kutipan dana, yang akan dikongsikan Syed Saddiq kepada ahli parlimen lain.

Dalam sidang media dalam talian hari ini mengenai usaha kutipan dana pasukannya, Syed Saddiq mengatakan audit berbayar ini bertujuan untuk meningkatkan cara kutipan dana oleh ahli politik.

"Kita ingin tahu bagaimana mengurangkan kelalaian, memastikan tidak ada kebocoran, penambahbaikan yang perlu dilakukan dan dokumen apa yang diperlukan kerana kadangkala perkara ini terlepas pandang dalam operasi besar.

“Ernst dan Young akan bekerjasama dengan kami untuk menasihati kami mengenai program 1 Keluarga 1 Laptop dan 1 Keluarga 1 Tablet. Mereka akan meneliti dokumen dan perincian kami.

"Dan selepas itu, mereka akan memberitahu kami apa piawai terbaik untuk kutipan dana yang dapat digunakan oleh saya dan rakan saya yang lain," katanya.

Ahli politik pembangkang itu, yang menerajui Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), mengatakan ini adalah langkah untuk mengubah budaya pendanaan politik.

"Saya mahu memulakan standard baru di Malaysia di mana ketelusan dan integriti menjadi nadi politik.

"Jadi orang akan tahu ke mana wang mereka dibelanjakan (dan) penerima akan tahu berapa banyak yang mereka peroleh.

"Dan kami akan melaporkan sebanyak mungkin, setelus mungkin agar ada pertanggungjawaban dan ketelusan yang lebih besar dalam kutipan dana,” tambahnya.

Dia menjangkakan proses audit akan berlangsung beberapa bulan.

RM1.4 juta berjaya dikumpul

Semasa sidang media itu, Syed Saddiq melaporkan bahawa pasukannya telah mengumpulkan RM1,438,401.71 untuk kawasan pilihannya sejak Disember 2020.

Ini melalui rangkaian program seperti "botak challenge", pelajaran tuisyen dalam talian, penjualan pakaian, dana "Muar Sejiwa", dana bank makanan serta 1 Laptop 1 Keluarga dan 1 Keluarga 1 Tablet.

Kutipan itu merangkumi sumbangan berbentuk wang dari orang ramai.

Dengan peruntukan RM320,000 dari kerajaan, beliau berkata pusat perkhidmatannya telah menerima sejumlah RM1,758.401.78 dalam tujuh bulan terakhir.

Untuk rekod, ahli parlimen pembangkang mendapat peruntukan yang jauh lebih sedikit daripada wakil rakyat dari parti kerajaan.

Dari wang yang mereka terima, Syed Saddiq mengatakan bahawa mereka telah membelanjakan sejumlah RM1,639.215.60 (93 peratus) setakat ini.

"Jelas bahawa dalam semua usaha kutipan dana kami, sama ada saya mengajar dalam talian atau menjual kurta, pakaian, makanan atau perkara lain, saya tidak mengambil satu sen pun tetapi saya menyalurkannya terus ke pusat khidmat Muar," tegasnya.