Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ROS: Semua NGO perlu kemuka laporan audit kewangan setiap tahun

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Jasri Kasim berkata semua pertubuhan yang berdaftar di bawah jabatan itu perlu menghantar penyata tahunan termasuk laporan kewangan yang telah diaudit setiap tahun.

"Semua pertubuhan yang berdaftar adalah tertakluk kepada Seksyen 14 (1), Akta Pertubuhan 1966, termasuk tanggungjawab mereka menghantar Penyata Tahunan selepas 60 hari Mesyuarat Agong atau 60 hari selepas tahun berakhir setiap tahun kepada ROS," katanya kepada Malaysiakini.

"Penyata tahunan termasuk laporan kewangan yang telah diaudit," tambahnya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai syarat yang diletakkan oleh ROS berhubung kutipan dana awam oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjamin ketelusan.

Sejak akhir-akhir ini, orang ramai kembali mempersoalkan ketelusan kutipan dana awam oleh NGO kebajikan sedia ada termasuklah yang membabitkan dana bantuan kemanusian untuk rakyat di Palestin.

Mengulas lanjut perkara itu, Jasri menjelaskan bahawa NGO boleh menerima sumbangan awam sekiranya ia dinyatakan dalam perlembagaan pertubuhan tersebut.

“NGO yang membuat kutipan dana juga tertakluk kepada kelulusan pihak yang tertentu seperti PDRM atau jabatan atau majlis agama Islam,” katanya.