Isu AKSB: Kelantan akui imej terjejas
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah mengakui siasatan Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mencalarkan imej kerajaan negeri.
Menurutnya, ini kerana selama ini pemimpin PAS sering mengatakan Kelantan bersih daripada kes rasuah.
"Ya memang betul, sebab bagi kita ia menjejaskan imej. Sebab selama ini kami kata kami bersih apa semua.
"Tiba-tiba berlaku macam ini. Tetapi benda ini masih di peringkat siasatan. Kita nak buat kesimpulan terus tak boleh," katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat Dewan Undnagan Negeri (DUN) Panchor, Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu media melaporkan SPRM menahan bekas pengurus besar ASKB dan beberapa isu individu lain bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah bernilai RM2.7 juta.
Mohd Amar yang juga naib presiden PAS berkata, bagaimanapun parti dan kerajaan negeri berpendirian pihak yang disiasat tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.
Justeru tegasnya, biar proses undang-undang berjalan.
"Jadi kita bagi proses undang-undang berjalan. Kalau betul bersalah, kita ambil tindakan. Kita tak akan bela orang yang bersalah," jelasnya
Dalam perkembangan sama katanya, setakat ini SPRM tidak memaklumkan perkembangan siasatan dan kerajaan negeri tidak akan mengganggu kes tersebut.
Ditanya mengenai salah seorang exco dilapor akan turut dipanggil bagi membantu siasatan berkait kes AKSB itu, Mohd Amar berkata, setakat ini exco tersebut belum dipanggil.
"Sebab isu ini seperti yang saya sebutkan banyak berkait dengan pentadbiran dan pengurusan. Ada masalah di peringkat pengurusan.
"Jadi katanya SPRM ini fokusnya di situ. Kalau SPRM panggil, kita akan pergi, tak ada masalah. Kita sudah bersedia kalau mana-mana exco dipanggil untuk siasat, Insya-Allah kita akan beri penjelasan," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai