Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenderaan terbabas dalam tali air bersama ganja bernilai RM1.23 juta

Polis Kelantan merampas dadah disyaki jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM 1.23 juta dalam kejadian di Kampung Lambor, Wakaf Bharu, Kelantan, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohammad Piah, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat mengesan sebuah kenderaan jenis Honda CRV dalam keadaan mencurigakan.

Susulan itu katanya, polis mengarahkan kenderaan terbabit agar berhenti, bagaimanapun ia terus memecut laju.

"Pihak polis terus mengejar suspek dan kemudian kenderaan tersebut terbabas dan terhumban ke dalam tali air di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di IPD Tumpat, hari ini.

Abdullah berkata, seorang suspek dilihat keluar daripada kenderaan dan menaiki sebuah motosikal berwarna biru.

"Pihak polis kemudian berjaya menangkap penunggang motosikal tersebut manakala pembonceng meloloskan diri ke dalam semak yang berhampiran," katanya.

Dia berkata pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan 12 bungkusan plastik hitam.

Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi sejumlah 494 bungkusan kertas berwarna keemasan dan berisi ketulan mampat disyaki ganja, seberat kira-kira 494 kilogram dianggarkan bernilai RM1.235 juta.

"Pihak polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan dan mengenal pasti pembonceng motosikal yang berjaya melarikan diri tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.