Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muda minta kerajaan laksana moratorium pengusiran, sitaan rumah

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan melaksanakan moratorium pengambilan semula harta atau pengusiran selama enam hingga sembilan bulan bagi melindungi penyewa yang gagal melunaskan komitmen masing-masing.

Kata parti itu, langkah tersebut perlu bagi mengelakkan penyewa terbabit kehilangan tempat berteduh, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan Covid-19.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Naib Presiden Penaja Muda, Lim Wei Jiet, dan pengarah dasar parti itu, Dr Teo Lee Ken, mereka berpendapat pandemik Covid-19 yang melanda sejak lebih satu setengah tahun lalu memberi kesan buruk kepada ekonomi Malaysia.

Keadaan itu kata mereka, menyebabkan kadar penggangguran yang tinggi, penutupan perniagaan dan syarikat, dan simpanan pendapatan yang habis digunakan.

"Kesannya ramai yang kehilangan rumah dan tempat penginapan. Seperti yang dilaporkan baru ini, mereka perlu hidup sebatang kara di kaki lima dan tepi jalan, perhentian bas, bangunan terbiar, dan pusat tinggal transit.

"Mereka tiada sokongan dan jaminan kebajikan sosial. Kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif dan serius untuk membantu mereka yang kehilangan tempat tinggal dan penginapan.

Menurut Lim dan Teo tempat penginapan yang baik serta bermaruah adalah hak asas setiap manusia.

Justeru kata mereka kerajaan mempunyai peranan untuk memastikan setiap golongan terbela dan tidak terusir daripada kehidupan yang bermaruah akibat Covid-19.

"Dasar dan undang-undang boleh digubal dan dilaksanakan untuk memastikan bantuan ini dapat dijalankan.

"Di tempat lain seperti United Kingdom, dasar sebegini dicadang dan dijalankan untuk memberi bantuan sementara kepada mereka yang terkesan oleh pandemik ini," kata mereka.

Dasar tersebut, kata Lim dan Teo, hanya menjadi kaedah sokongan sementara.

"Secara jangka masa panjang, ia mesti seiring dengan proses vaksinasi yang dipercepat dan diperluaskan lagi untuk rakyat Malaysia dan warga bukan Malaysia.

"Pada masa sama, kerajaan juga mesti meneruskan dan memberi bantuan dana serta kebajikan kepada golongan paling rentan, termasuk miskin tegar dan migran," katanya.