Takbir raya di masjid, surau di kawasan Fasa 2 PPN dibenar - Jakim
Takbir Hari Raya Aidiladha di semua masjid dan surau di kawasan dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah dibenarkan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa solat sunat Aidiladha dan khutbah Hari Raya serta ibadah korban bagi tahun ini turut dibenarkan dengan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dan kebenaran pihak berkuasa agama negeri.
Bagaimanapun takbir dari rumah ke rumah, jamuan selepas solat sunat Aidiladha, program ziarah, ziarah tanah perkuburan dan rumah terbuka atau majlis jamuan hari raya, adalah tidak dibenarkan.
Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Selasa depan (20 Julai) dan lapan negeri yang telah beralih ke Fasa Kedua PPN setakat ini iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Menurut Jakim bagi kawalan penularan dan jangkitan, masjid atau surau perlu mengadakan kaunter di pintu masuk dengan jumlah yang hadir perlu dihadkan bilangannya, suhu badan diperiksa, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah diambil; dan ruang solat serta kawasan sekitarnya, termasuk tandas dan ruang wuduk perlu kerap disanitasi.
Menurutnya pintu masjid hanya dibuka satu jam sebelum solat dan ditutup sejurus selepas selesai aktiviti solat berjemaah manakala jemaah yang sihat dan tidak bergejala sahaja dibenarkan hadir dengan mengikut SOP.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai