Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

TPM: PKPD di 24 lokaliti di beberapa negeri mulai Ahad

Sebanyak 24 lokaliti meliputi 14 di Pahang, empat di Selangor serta masing-masing tiga di Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini hingga 31 Julai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini, beliau berkata PKPD di Pahang melibatkan 13 lokaliti di Kuantan iaitu Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sungai Derhaka, Kempadang, Sungai Soi dan Kampung Pahang.

PKPD turut dikenakan di Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas dan Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum dan Taman Impianku, manakala di Temerloh melibatkan Taman Chengal.

Di Selangor katanya, membabitkan Damai Apartment, PJS 8 Damansara di Petaling; Jalan Pandan Indah, Ampang (Hulu Langat); Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi (Klang) dan Taman Samudera di Batu (Gombak).

"PKPD di Sabah merangkumi Ladang Sawit KLK Lungmanis dan Perumahan Kilang, di Silabukan, Lahad Datu; Kampung Pinolobuh Bukid (Kota Belud); PPR Taman Ehsan (Kudat); manakala di Kuching, Sarawak ialah Kampung Seratau, Kampung Astana Lot dan Kampung Sungai Bedil Besar," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata PKPD Kampung Siasai Dundau di Kota Belud dan Kampung Naruntung di Pitas, Sabah yang masing-masing dijadual tamat esok, dilanjutkan mulai Ahad sehingga 31 Julai.

Sementara itu, PKPD di lima lokaliti ditamatkan esok iaitu Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd, di Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur dan Asrama Pekerja, Kuala Muda, Kedah; Taman Nagasari, Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) serta Kampung Pantai Emas, Kota Belud, Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau dan Kampung Babagon, Penampang.

PKPD di Taman Desaria, Seremban, Negeri Sembilan pula ditamatkan Ahad ini, katanya.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PPN, Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata 65 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup hari ini, kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Selain itu katanya, seramai 416 individu ditahan semalam kerana ingkar SOP dengan 404 individu dikompaun manakala 12 lagi direman, manakala menerusi Op Benteng, 57 pendatang tanpa izin ditangkap dan sembilan kenderaan darat dirampas bagi tempoh sama.

"Kerajaan sentiasa melaksanakan langkah-langkah penguatkuasaan SOP yang tegas dan tidak akan berkompromi jika terdapat pelanggaran arahan serta SOP dalam apa juga situasi, kerana keutamaan kini adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

- Bernama