Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

115 lagi kematian, kes aktif kini 114,053

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes aktif dengan kebolehjangkitan kini melonjak 114,053 kes, menjadikan ia jumlah kes aktif paling tinggi sejak Covid-19 dikesan di negara ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata daripada 12,541 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 6,504 kes adalah daripada kategori 1 (tidak bergejala); 5,848 kes kategori 2 (bergejala ringan); 86 kes kategori 3 (radang paru-paru); 49 kes kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen); dan 54 kes kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Jelasnya, sejumlah 6,742 kes sembuh dan 115 kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan 772,542 kes sembuh dan 6,728 kematian.

"Kes kematian hari ini antaranya melibatkan 53 orang di Selangor, 24 di Kuala Lumpur, masing-masing tujuh kes di Johor dan Melaka, lima orang di Pulau Pinang, masing-masing empat kes di Negeri Sembilan dan Kedah, masing-masing tiga kes di Sabah dan Perak, masing-masing dua kes di Kelantan dan Terengganu, serta seorang di Labuan," katanya pada kenyataan media hari ini.

Seramai 896 pesakit pula sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), jelasnya dengan 459 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga berkata 37 kluster baru dikesan, tertinggi sejak negara dilanda pandemik, dengan 19 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, lapan kluster komuniti dan empat kluster pusat tahanan, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi serta tiga kluster pendidikan lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 dalam negara setakat semalam adalah 1.20, dengan Putrajaya mencatat nilai Rt tertinggi pada 1.32.

Negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0, jelasnya adalah Terengganu dengan nilai Rt 1.27; Kedah (1.23); Selangor dan Pulau Pinang masing-masing 1.20; Negeri Sembilan (1.17); Kuala Lumpur (1.15); Melaka (1.14); Pahang (1.12); Johor, Kelantan dan Perak masing-masing 1.10; dan Sabah (1.09).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Hari ini, kes harian terus mencatatkan lima angka dengan 12,541 jangkitan baru Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah kes terkumpul 893,323 kes.

Terdapat 7,116 kes di Lembah Klang dengan Selangor melaporkan 5,512 kes - yang kedua tertinggi dalam rekod.

Petang tadi, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di negeri Selangor yang tamat pada tengah malam ini tidak dilanjutkan.

“Sidang khas MKN telah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di kesemua mukim yang terbabit,” katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.