Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tumpu usaha vaksinasi di Lembah Klang berbanding pengesanan kontak'

Dengan jangkitan wabak Covid-19 di Lembah Klang yang dilihat di luar kawalan, seorang ahli parlimen menyarankan agar kerajaan memberi tumpuan dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin.

Ketika ditanya sama ada kerajaan harus menggunakan sumber yang ada untuk meningkatkan jumlah ujian saringan atau pemberian vaksin, ahli parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata ia merupakan pilihan yang sukar.

Bagaimanapun dia berkata tumpuan ke arah meningkatkan ujian saringan mungkin sia-sia, berbanding usaha pemberian vaksin.

"Saya rasa dengan keadaan sekarang, ujian saringan dan pengesanan kontak mungkin sia-sia di Lembah Klang kerana jumlahnya tinggi.

“Kita perlu menganggap ia (Covid-19) sudah ada di tengah-tengah masyarakat dan mungkin hampir semua orang terdedah terhadapnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut laporan portal kesihatan CodeBlue, pakar epidemiologi Dr Lokman Hakim Sulaiman turut mempunyai pandangan sama, dengan berkata proses cari, uji, jejak, isolasi dan sokongan (FTTIS) tidak lagi terpakai di Lembah Klang.

"Kami menganggap majoriti orang telah terdedah," kata Lokman.

Selama dua minggu ini, Lembah Klang berdepan peningkatan tinggi kes Covid-19, dengan Selangor melaporkan lebih daripada 6,000 kes semalam.

Lokman percaya bahawa kes harian Covid-19 di seluruh negara boleh mencapai 35,000 kes - jauh lebih banyak daripada angka rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah kes yang melonjak naik itu disebabkan ujian saringan besar-besaran yang dijalankan.

Bagaimanapun ada pihak mengatakan ia turut menandakan ujian yang dilakukan sebelum ini tidak mencukupi.

Yii berkata jumlah kes yang besar pada masa ini, kebanyakan sumber sedia ada harus digunakan untuk mempercepat kadar vaksinasi.

"Pastikan semua kumpulan berisiko tinggi - warga emas, mereka yang memiliki komorbiditi - diberikan vaksin," katanya, sambil menambah bahawa pusat pemberian vaksin (PPV) khas perlu diwujudkan agar kumpulan berisiko tinggi dapat menerima suntikan secara walk-in.

Kerajaan akan mula membenarkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tanpa janji temu. Bagaimanapun, tarikh ia bermula masih belum dimaklumkan.

Terdapat bukti kukuh yang menunjukkan vaksinasi menyebabkan individu yang dijangkiti Covid-19 berdepan risiko lebih rendah untuk mengalami gejala serius.

Sementara itu, Yii berkata kerajaan juga perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang menyeluruh untuk kuarantin di rumah bagi pesakit yang tidak bergejala atau mengalami gejala ringan.

"(Kita juga perlu) merombak Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sedia ada, dengan melaksanakan penilaian video, dan mengubah bangunan CAC sekarang menjadi hospital medan untuk pesakit Kategori 3 (gejala yang lebih serius)," katanya lagi.

Semalam, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Greater Klang Valley, Dr Chong Chee Kheong berkata KKM akan mewujudkan CAC secara maya bagi menguruskan kes pesakit Covid-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan.

"HSO (Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah) akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau lain-lain aplikasi dan ia sah dari segi undang-undang,

"Walaupun tidak diberi gelang tetapi dari segi undang-undang mereka terpaksa berada di rumah... isolasi di rumah," kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) itu ketika sidang media khas semalam.