Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pesara tentera rentung dalam kebakaran van

Seorang lelaki yang juga pesara tentera ditemui rentung dalam kejadian kebakaran sebuah van di Peringat, Kota Bharu di Kelantan, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohammad Piah berkata, pihaknya menemui mangsa sekitar jam 4.30 petang selepas menerima maklumat orang awam.

Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 59 tahun yang memiliki kad rawatan mental dan mengalami masalah kemurungan.

“Mengikut laporan yang kita terima daripada penduduk kampung, mereka memaklumkan ternampak kepulan asap di lokasi tetapi mereka menyangkakan hanya kebakaran biasa.

“Pengadu melaporkan perkara itu kepada penghulu dan seterusnya penghulu membuat laporan di balai polis,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdullah berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca kematian sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya kerana perlu menunggu hasil laporan lanjut.

"Jadi dalam kes ini, mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Saya tak dapat nak memberi sebab kematiannya dan kita akan tunggu laporan post-morterm (bedah siasat).

"Jadi berdasarkan siasatan awal, kes ini diklafikaskan sebagai mati mengejut kecuali ada perubahan selepas keputusan post-morterm dan kita akan ubah siasatan tersebut," katanya.