Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lepas Sinovac habis, semua negeri akan beralih kepada vaksin Pfizer

  • Dikemas kini dengan perkembangan terbaru.

Semua negeri akan beralih kepada Pfizer selepas bekalan vaksin Sinovac habis, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Dia berkata demikian ketika menjelaskan tindakan Kelantan memberhentikan agihan Sinovac menjelang hujung bulan ini.

Katanya, Malaysia memesan 45.7 juta Pfizer berbanding Sinovac yang hanya 15.9 juta dos.

“Oleh itu, di Kelantan, kita beralih kepada vaksin ini kepada Pfizer,” katanya dalam sidang media di Putrajaya yang disiarkan langsung di atas talian hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkaata Pfizer kini menjadi vaksin utama dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menghentikan pengagihan vaksin Sinovac dan digantikan dengan vaksin Pfizer di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan.

Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun tegasnya, ia tidak membabitkan pengurangan bekalan vaksin kepada negeri itu.

"Ya, begitulah perancangannya.Tetapi tiada pengurangan jumlah bekalan," jelasnya.

Dr Zaini Hussin 

Dr Zaini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu notis pemberitahuan yang tular di media sosial, hari ini.

Notis bertarikh 13 Julai yang ditandatanganinya itu memaklumkan kepada semua PPV Kelantan mengenai bekalan vaksin jenis Sinovac akan dihentikan pada akhir bulan ini.

Selain itu, hanya vaksin Sinovac bagi dos kedua sahaja akan dibekalkan bermula 18 Julai hingga akhir bulan dan tiada lagi bekalan dos pertama bagi vaksin Sinovac akan dibekalkan pada masa akan datang.