Ugut saksi kes 1MDB: Lokman Adam dipenjara satu bulan
Mahkamah memutuskan bekas pemimpin Umno telah menghina mahkamah berhubung kes rasuah Najib Razak melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara satu bulan berkuat kuasa hari ini, susulan keputusan yang memihak kepada permohonan komital pihak pendakwaan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan Lokman menghina mahkamah berkaitan saksi pendakwaan kelapan (PW8) kes tersebut, iaitu bekas pegawai khas Najib, Amhari Effendi Nazaruddin.
"Saya dapati tindakan responden, diiringi dengan niat, untuk membuat kenyataan media dan laporan polis, bersamaan dengan ugutan terhadap PW8 dan pihak lain yang berpotensi sebagai saksi dalam perbicaraan, membawa risiko terhadap pentadbiran keadilan (due administration of justice) dan bersamaan dengan menghina mahkamah," katanya.
Selepas keputusan disampaikan, mahkamah mendengar penghujahan pasukan peguam Lokman untuk meringankan hukuman.
Prosiding komital yang difailkan pendakwaan berhubung dua dakwaan insiden melibatkan Amhari pada 2019.
Insiden pertama berlaku pada 25 September 2019, di mana Lokman dalam temu bual video didakwa mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari kerana memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib.
Insiden kedua juga pada hari sama berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Amhari berkaitan keterangan lisan yang dibuat ketika perbicaran 1MDB.
Ketika prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram berkata kebebasan bersuara tidak mengabsahkan ugutan terhadap saksi, yang didakwa dilakukan Lokman.
Sri Ram antara lain berkata, perkataan yang terdapat dalam temu bual video dan laporan polis bukan saja serangan terhadap Amhari, tetapi mahkamah sendiri.
Bagaimanapun, peguam Lokman, Muhammad Shafee Abdullah berkata mahkamah perlu menolak permohonan tersebut memandangkan notis tunjuk sebab oleh Umno terhadap Lokman dikatakan tidak menyatakan maklumat penting berkaitan perkara itu.
Shafee antara lain berkata, pihak pendakwaan tidak boleh bergantung kepada afidavit untuk perincian berkaitan dakwaan tindakan Lokman dan perincian berkaitan sepatutnya termasuk dalam notis tunjuk sebab itu sendiri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai