Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Vaksin: Bomba Kelantan sedia bas bantu individu sukar bergerak

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyediakan inisiatif bas bomba untuk Program Mobile Vaksinasi Covid-19 bagi membantu penerima vaksin yang sukar bergerak untuk mendapatkan suntikan vaksin khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, seramai 13 orang pegawai ditugaskan dalam menjayakan program tersebut dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang kini mendapat sambutan orang ramai.

"Penggunaan bas ini memang berkesan kerana kemudahan tersedia dan kita ada bincang dengan KKM bukan sahaja di peringkat Kelantan, tetapi seluruh Malaysia.

"Contohnya di Selangor, ia digunakan dan memang berkesan, ramai penerima vaksin berduyun datang dan semalam kita target 200 orang dan 200 orang yang datang. Malah hari ini juga ramai," katanya dalam sidang media ketika menghadiri Program Mobile Vaksinasi Covid-19 di Masjid Kusial Bharu, Tanah Merah, hari ini.

Terdahulu, pada 4 Julai lalu, media melaporkan JBPM Kelantan menyerahkan sebuah bas khusus untuk digunakan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bagi membantu dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sementara itu, Zainal juga menyatakan bahawa penggunaan bas bomba juga selamat kerana bas tersebut akan disanitasi sebelum dan selepas penggunaannya dalam program tersebut.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan menambah bilangan bas untuk tujuan yang sama dalam masa terdekat, berbanding tiga bas pada masa ini.

Zainal berkata, pihak bomba negeri Kelantan akan terus bekerjasama dengan pihak KKM secara berterusan untuk menjayakan program vaksinasi di negara ini.

“Kita akan sentiasa membantu pihak JKN secara berterusan bagi memastikan masyarakat divaksin.

“Sambutan juga amat menggalakkan dan orang ramai yang saya temui juga bersyukur sebab kami bantu memudahkan urusan mereka dan JKNK,” jelasnya lagi.