Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suhakam siasat 4 kematian dalam tahanan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional (Suhakam) sedang menyiasat kes kematian seorang lelaki warga Nepal yang tidak dikenali dan kes kematian lain ketika dalam tahanan membabitkan Surendran Shanker, S Sivabalan dan Roopan Karnagaran.

"Ramai rakyat Malaysia dalam beberapa minggu yang lalu telah melihat banyak laporan mengenai kematian dalam tahanan dan saya rasa Suhakam menyokong seruan oleh banyak NGO dan peguam bahawa setiap kematian dalam tahanan perlu ada siasatan untuk memastikan apa yang berlaku dan mengapa individu ini mati dalam tahanan.

"Antara kes yang sedang disiasat oleh Suhakam adalah tahanan Nepal yang meninggal di penjara Kluang, Johor," kata pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph pada sidang media hari ini.

Dia berkata, lelaki yang tidak dikenali itu meninggal dunia pada 30 Mei kerana didakwa membunuh diri.

Joseph juga menyebut bahawa Suhakam sedang menyiasat kematian Surendran Shanker, S Sivabalan dan Roopan Karnagaran.

Surendran meninggal dunia semasa dalam tahanan pada 27 Mei lalu di penjara Simpang Renggam, Johor pada usia 21 tahun, manakala Sivabalan yang berusia 43 tahun meninggal dunia di ibu pejabat polis Gombak pada 20 Mei.

Suhakam juga sebelum ini berkata mereka sedang meneliti kes kematian Roopan Karnagaran, 25 yang merupakan kematian dalam tahanan ke-12 yang dilaporkan tahun ini.

Berharap tiada lagi kes kematian dalam tahanan di masa depan, Joseph bagaimanapun mengakui mungkin terdapat kes kematian disebabkan oleh keadaan semula jadi, seperti penyakit atau keadaan yang buruk di tempat tahanan.

"Ada kes di mana orang boleh mati dengan alasan semula jadi. Namun, kita harus siasat apakah itu benar-benar semula jadi atau apakah itu disebabkan oleh keadaan di balai polis atau pusat tahanan, yang menyebabkan para tahanan ini jatuh sakit, "katanya sambil menambah ia juga boleh disebabkan oleh kelalaian dalam mengekalkan tahap kebersihan atau unsur penderaan.

[Baca berita penuh]