Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis jelaskan arahan tutup 'Food Bank' Syed Saddiq

DIKEMASKINI 8:30 PM: Memasukkan respons Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan kenyataan ketua polis Johor.

Polis Johor tampil memberikan penjelasan berhubung arahan agar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghentikan program Food Bank (bank makanan) semalam.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ahli parlimen Muar itu tidak mendapat kebenaran mengedarkan bantuan makanan dari pusat khidmatnya.

Dia juga menjelaskan nasihat itu dikeluarkan oleh pejabat kesihatan daerah dan bukannya pihak polis agar program tersebut dihentikan berikutan "lebih seratus" orang berkumpul tanpa penjarakan fizikal.

"Saya difahamkan permohonan memang ada dibuat oleh YB Syed Saddiq tapi permohonan adalah untuk mengedarkan barang-barang bakul makanan dari rumah ke rumah.

"Tapi apa yang berlaku pengedaran barang ini dibuat di pusat khidmat rakyat parlimen Muar, jadi ramai yang berkumpul, seratus orang lebih.

"Yang pertama tidak ada kebenaran yang dipohon dari pusat kawalan operasi bencana untuk membuat majlis di pusat khidmat rakyat.

"Yang kedua apabila ramai yang berkumpul, tak ada penjarakan sosial. Pihak penguatkuasa kesihatan daerah hadir ke tempat tersebut dan telah mengarahkan agar majlis dihentikan," jelasnya dalam sidang media secara maya hari ini.

Syed Saddiq nafi dakwaan polis

Semalam, ahli politik pembangkang itu mendakwa pihak polis memintanya untuk menutup "pejabatnya" mulai hari ini.

Syed Saddiq berkata, dia kesal kerana dilarang menyampaikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan dan bersedia untuk dikompaun bagi tujuan itu.

Katanya, pihaknya juga telah mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) dan tidak boleh menghalang orang susah dan lapar datang meminta bantuan.

Susulan penjelasan Ayob hari ini, Syed Saddiq berkongsi gambar borang permohonan yang diluluskan untuk membuktikan pihaknya diberi kebenaran menyampaikan bantuan di "seluruh kawasan parlimen Muar".

Berdasarkan borang berkenaan, tarikh pergerakan mula untuk melaksanakan bantuan adalah pada 7 Jun.

Namun ia tidak menyatakan halangan untuk menyampaikan bantuan di pusat khidmat atau mengenakan syarat hanya boleh mengagihkan bantuan makanan dari rumah ke rumah.

“Saya sentiasa beri kerjasama dengan pihak berkuasa.

"Rumah ke rumah dah buat, agih ke ketua kampung dah buat. Tapi tak cukup. Sebab itu tutup pejabat bukan penyelesaian!

"Team saya akan hubungi pihak berkuasa untuk mereka bantu kami di pejabat.

"Kita sama-sama bantu rakyat Muar," katanya.

Terdahulu, Ayob berkata pihak polis tidak akan mengambil tindakan terhada[ Syed Saddiq tetapi mengatakan dia telah dikeluarkan "peringatan" oleh pegawai kesihatan daerah.

"Sebarang permohonan oleh mana-mana MP ataupun Adun untuk menjalankan sebarang aktiviti memang dibenarkan tapi perlu mendapat kebenaran daripada pusat kawalan operasi bencana daerah,” katanya.