'Food bank' Syed Saddiq diarah tutup kerana terlalu ramai beratur
NOTA EDITOR: Laporan ini sudah dikemas kini susulan penjelasan Hannah Yeoh bahawa pihaknya dan polis mencapai persetujuan untuk menutup 'food bank' itu.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkongsi di media sosial bahawa mereka terpaksa menutup bank makanan (food bank) di pusat khidmat parlimen mereka kerana terlalu ramai yang datang beratur mendapatkan bantuan.
"Saya diarahkan tutup pejabat Parlimen Muar mulai esok. Polis kata terlalu ramai orang beratur di luar pejabat," ciap Syed Saddiq di Twitternya.
Bekas menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) itu berkata dia bersedia untuk dikompaun kerana hal itu.
"Saya tak boleh halang orang susah dan lapar datang minta bantuan. Rakyat Muar tanggungjawab saya.
"Kalau nak kompaun, kompaun saya! Jangan tambah beban rakyat Muar!" katanya lagi.
Malaysiakini sedang menghubungi polis untuk mendapatkan respons.
Sementara itu, Yeoh memaklumkan di Facebooknya bahawa ramai yang hadir mendapatkan bekalan makanan di bank makanan pusat khidmatnya.
Susulan itu, katanya, selepas berbincang dengan pihak polis, mereka bersetuju untuk menutup 'food bank' itu.
"Dalam masa operasi empat jam sahaja sejumlah 853 orang telah datang ke 'food bank' kami.
"Orang ramai mula datang sejam lebih awal daripada masa pembukaan. Setelah berbincang dengan pihak polis, kami bersetuju untuk menamatkan food bank ini kerana permintaan yang terlalu tinggi dan ada yang datang sejauh Selayang, Jinjang, Rawang, Batu Caves dan Petaling Jaya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Yeoh menambah bahawa bank makanan itu disumbangkan oleh NGO dan penderma swasta, tanpa sebarang peruntukan kerajaan.
Katanya, penerima sumbangan itu termasuk 242 rakyat tempatan dan 611 bukan warganegara.
"Saya bertanya kepada mereka yang datang mengenai keadaan semasa dan kebanyakan memberitahu saya bahawa mereka tiada pendapatan kerana tidak dapat bekerja semasa 'lockdown'.
"Kami juga mengedarkan susu untuk mereka yang mempunyai bayi dan kanak-kanak. Pada hari pertama saya berdiri di gate dan rasa nak menangis kerana melihat kesusahan yang dihadapi oleh orang ramai sekarang.
"Saya meminta maaf kerana tidak dapat meneruskan 'food bank ini tetapi kami akan terus mencari jalan untuk membantu mereka yang terkesan dengan PKP ini," kata Yeoh.
Dia meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencari jalan agar sektor ekonomi dapat dibuka semula.
"Ramai telah duduk di rumah sejak 1 Jun dan tidak mampu bertahan lagi. Kes hari ini sudah mencecah 11,000. Macam mana nak bayar sewa, bil utiliti dan kos makanan keluarga sementara menunggu kes turun?
"Guna SOP yang betul dan perkasakan rakyat untuk lawan Covid," kata Yeoh lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai