SPRM panggil 8 pekebun durian Raub bantu siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam keterangan lapan pekebun durian di Raub, Pahang bagi membantu siasatan berhubung pertikaian mengenai tanah kebun tidak berlesen.
Ini selepas Jabatan Perhutanan Pahang menebang 15,000 pokok durian Musang King di hutan simpan Batu Talam baru-baru ini.
Peguam Collin Arvind Andrew, yang mewakili para pekebun itu berkata anak guamnya disoal selama kira-kira empat jam dari jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang ini.
"Mereka telah beri kerjasama dengan pegawai SPRM, yang juga sangat profesional. Setakat ini, belum ada tangkapan. Kita perlu tunggu dan lihat apa tindakan yang akan diambil selanjutnya, ”tambahnya berdasarkan rakaman video yang dikongsi oleh Save Musang King Alliance (Samka).
Dia tidak menjelaskan identiti lapan individu tersebut atau sebab siasatan SPRM.
Sekretariat Samka berkata, lapan individu itu termasuk mereka yang memohon semakan kehakiman, dan ada antara mereka merupakan pemilik kebun durian tidak berlesen.
Jabatan Perhutanan Pahang telah membersihkan sekitar 100 hektar kebun durian berkenaan pada 11 Julai.
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dilapor menafikan dakwaan bahawa operasi penguatkuasaan itu melanggar perintah sementara Mahkamah Rayuan kerana ia dilakukan di luar kawasan kebun durian milik Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).
Pada penghujung Jun 2020, kerajaan negeri Pahang memberikan hak sewa dan penggunaan tanah seluas 5,357 ekar (2,168 hektar) kepada RPDR-PKPP.
Tidak setuju dengan syarat skim pengesahan yang ditetapkan oleh syarikat usaha sama itu, sejumlah 204 pekebun mengemukakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan kerajaan negeri.
Sehubungan itu perintah sementara dikeluarkan oleh mahkamah untuk menghentikan sebarang penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
September lalu, seramai 18 pekebun durian dipanggil oleh SPRM untuk memberikan keterangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada waktu itu berkata pihaknya telah mengambil dokumen yang berkaitan dari Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Pejabat erhutanan Daerah Raub dan Pejabat Renjer Hutan Raub untuk siasatan lanjut mengenai pencerobohan tanah kerajaan negeri di Raub, Pahang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai