Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pejuang Kelantan lancar ‘talian bendera putih’

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Kelantan melancarkan ‘talian bendera putih’ sempena kempen bendera putih yang digerakkan orang ramai bagi membantu mereka yang berdepan kesukaran akibat Covid-19.

Ketua Biro Kebajikan Parti Pejuang Kelantan, Shaifulrizan Mohd Nasir berkata, oleh kerana pengibaran bendera putih secara fizikal mungkin mendatangkan aib dan buruk sangka, pihaknya akan menggunakan kaedah ‘talian bendera putih’ melalui WhatsApp untuk berhubung dengan pihak yang memerlukan.

“Kami menyokong penuh dan terpanggil untuk turut serta membantu rakyat Kelantan yang terkesan dengan keperitan hidup ini, tanpa mengira fahaman politik, kaum atau agama.

“Kami juga melalui Biro Kebajikan dan NGO dengan kerjasama rakan-rakan korporat serta individu telah berjaya mengumpul barangan asas makanan untuk diagihkan kepada mereka yang amat memerlukan.

“Jadi, pihak yang memerlukan bantuan hanya perlu WhatsApp maklumat asas dan lokasi ke talian untuk mendapatkan bantuan dan pihak kami akan menghantar bantuan barangan asas makanan tersebut dalam masa 24 jam apa WhatsApp diterima,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Shaifulrizan juga berkata, orang ramai dialu-alukan untuk memaklumkan ke ‘talian bendera putih’ sekiranya mereka mempunyai maklumat berkenaan mereka yang layak menerima bantuan.

“Kami berharap ianya akan sedikit sebanyak membantu mereka yang terkesan mengharungi hidup yang masih tidak kelihatan jalan penyelesaian.

“Justeru, kami juga bersedia menerima sumbangan barangan makanan dari mana- mana syarikat atau individu yang ingin membantu dan boleh hubungi kami di talian yang sama,” jelasnya lagi.

Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan bantuan keperluan asas melalui ‘talian bendera putih’ atau ingin memaklumkan berkenaan mereka yang memerlukan, boleh menghubungi wakil Pejuang Kelantan di talian 0111-7900079.