Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ulasan | Kemelut politik tanah air: Perlunya kerangka governans baru

ULASAN | Malaysia merupakan salah sebuah negara dan masyarakat di dunia yang sangat aktif berpolitik dan berminat soal kuasa.

Hal ini sudah menjadi budaya atau “darah daging” para politikus dan pengikut mereka selama beberapa dekad ini.

Keadaan ini ada baiknya, namun terdapat banyak cabaran dan kelemahannya.

Banyak bukti daripada pengalaman sejak merdeka dan lebih-lebih lagi sejak 1970an dan 1980an yang menunjukkan gelanggang politik dijadikan laluan atau batu loncatan untuk memperoleh kuasa serta habuan dalam bentuk kemewahan dan keistimewaan bagi diri sendiri dan suku sakat.

Politik dijadikan wahana untuk membina tapak kuasa melalui pelbagai cara yang sah dan juga tidak sah di sisi undang-undang. Oleh kerana itu, kita sering melihat sejak akhir 1990an sehingga kini, gejala “lompat parti” atau “politik katak”.

Perilaku politik ini tidak berpaksikan prinsip, tetapi berpaksikan kepentingan jangka pendek diri dan puak. Ia politik murahan, yang mudah beralih arah serta sanggup mengkhianati mandat rakyat apabila peluang terbuka.

Tidak hairanlah keadaan ini menyebabkan ahli politik sebagai suatu kelompok yang kurang atau tidak dihormati, walaupun secara individu, banyak di antara mereka masih dihormati lebih-lebih lagi yang erat hubungannya dengan rakyat.

Namun secara kelompok, golongan ahli politik memperoleh skor yang amat rendah, bahkan paling rendah dalam survei mengenai tahap kepercayaan masyarakat terhadap mereka.

Hal ini mencerminkan defisit kepercayaan yang serius.

Sebagai contoh, kajian mengenai “Public Trust in Professions” yang dilakukan oleh firma kajian pemasaran IPSOS MORI di United Kingdom pada 2019 menunjukkan ahli politik termasuk menteri memperoleh skor kepercayaan paling rendah (di bawah 17 peratus) dalam kalangan orang awam, berbanding golongan jururawat dan doktor yang memperoleh skor paling tinggi (90 peratus ke atas).

Penemuan ini selaras dengan penemuan kajian di Malaysia oleh Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) yang dilakukan pada 2005 dahulu.

Hal ini memang sesuatu yang perlu dipandang serius. Politik dan kuasa untuk kepentingan diri akan membawa mudarat kepada kepentingan awam.

Meminjam kata-kata Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas (gambar, atas) dalam syarahan umum beliau pada tahun 2000 di UKM, politik sedemikian adalah percerminan “cita bencana” yang akan membawa tragedi kepada negara dan masyarakat.

Apa yang kita perlukan, menurut beliau, ialah “cita sempurna”, yakni cita unggul untuk membina kemajuan negara, rakyat dan tamadun bangsa.

Sesuai dengan anjuran “cita sempurna” Profesor Alatas, adalah penting untuk rakyat Malaysia mengubah kelemahan atau ciri-ciri negatif politik dan kuasa itu menjadi kekuatan dan keunggulan.

Untuk itu, Malaysia perlu politik baru yang sihat dan bertanggungjawab. Politik sepatutnya adalah suatu amanah negara bukan semata-mata dalam kata-kata tetapi dalam tindakan.

Politik ini berwawasan dan tidak terikat kepada perspektif jangka pendek memenangi pilihan raya semata-mata. Politik ini berlandaskan prinsip integriti dan pemberian khidmat untuk negara dan rakyat tanpa menuntut balasan.

Pemberian khidmat ini dilakukan secara cekap, berhemah, dan telus, di mana “cakap serupa bikin” tanpa dwipiawai (double standard) dalam menjunjung undang-undang dan keadilan.

Prinsip amanah ini diperkuatkan lagi dengan prinsip akauntabiliti atau kebertanggungjawaban menuntut pemegang kuasa dan harus bersedia serta sanggup mengakui kelemahan dan kesilapan diri serta bersedia berundur secara terhormat apabila gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Politik berprinsip semacam inilah yang perlu untuk Malaysia menjadi negara maju. Politik berprinsip ini bagi membela nasib rakyat secara berkesan, lebih-lebih lagi apabila negara dirondong krisis besar seperti sekarang.

Trend politik baru yang berprinsip ini memang ada sejak sebelum merdeka. Ia muncul semula semenjak proses pendemokrasian selepas 1989, dan kini memperlihatkan keserlahannya semula dalam beberapa kalangan ahli politik dan pendukung mereka dalam menghadapi krisis besar negara kali ini.

Kita mengharapkan trend ini akan terus berkembang menjadi gelombang utama yang berupaya merentas parti ke arah hari depan yang baik.

Berdekad masalah governans 

Walau bagaimanapun, sebelum mampu bergerak ke arah keadaan yang lebih baik, Malaysia perlu menyelesaikan kemelut politik yang mencengkam negara kita sekarang yang menunjukkan seolah-olah tiada jalan keluar.

Penyelesaian masalah negara dan rakyat lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis luar biasa seperti sekarang bergantung pada bagaimana sistem tadbir urus atau governans negara boleh direformasi, diperkasakan dan diurus dengan baik.

Juga bagaimana barisan kepimpinan harus berpegang pada prinsip integriti dan melaksanakan governans yang baik seperti dinyatakan di atas.

Governans yang lemah dan tidak berkesan akan menjejaskan kemajuan masyarakat, apalagi sekiranya barisan kepimpinan tidak sekata, tidak pandai berkoordinasi, tidak telus dan cekap, dan tidak ada wawasan pemerintahan yang jelas dan baik.

Malaysia sejak beberapa dekad ini menghadapi masalah governans dan kepimpinan yang serius sehingga meletusnya skandal 1MDB, mengakibatkan negara menderita kerugian yang parah.

Keadaan ini diburukkan kini dengan meletusnya krisis pandemik Covid-19 pada Januari tahun lalu bersamaan dengan krisis ekonomi. Hal ini disusuli dengan rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton dan kemunculan pemerintahan Perikatan Nasional yang lemah dan tidak stabil walaupun sudah lebih setahun memerintah.

Gelombang arus bawah daripada rakyat yang meluahkan kesengsaraan, kekecewaan, bahkan kemarahan mereka yang menanjak kebelakangan ini menyebabkan kerajaan PN menjadi lebih tidak stabil lagi.

Soalan pokok sekarang ialah: Apakah jalan keluar daripada kebuntuan politik dan pemerintahan pada masa ini? Adakah Kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh bertahan berdepan asakan demi asakan dari dalam Perikatan Nasional sendiri, iaitu dari Umno, dan juga dari luar oleh pihak pembangkang?

Apakah dampak tindakan Umno pada 8 Julai baru-baru ini yang menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri dan menuntut beliau meletakkan jawatan serta merta?

Walaupun Umno, PH dan beberapa pihak lain terus menerus mahukan perletakan jawatan Perdana Menteri, beliau tetap bertahan dan tidak mengendahkan tuntutan tersebut.

Beberapa parti sekutu seperti PAS dan GPS Sarawak memberi sokongan terbuka kepadanya. Peguam Negara pula memberi hujah bahawa, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, kepercayaan majoriti perlu ditentukan oleh Ahli Dewan Rakyat dan bukanlah melalui kenyataan suatu parti politik atau mana-mana pemimpinnya.

Dalam keadaan begini, apakah akan berhasil cadangan dari sebahagian Umno bahawa sebuah kerajaan interim harus diwujudkan selama tiga hingga enam bulan untuk menangani masalah Covid-19 dan ekonomi sebelum pilihan raya umum diadakan?

Juga, apakah cadangan pihak PH tentang kerajaan interim dengan PH sebagai blok terbesar membentuk kerajaan bersama rakan-rakan parti yang lain boleh menjadi kenyataan?

Dilihat secara objektif dan menyeluruh, sama ada Muhyiddin terus bertahan dengan Kerajaan PN, ataupun sebuah kerajaan interim ala-Umno ataupun ala-PH diwujudkan, langkah ini tidak akan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.

Keadaan krisis yang meruncing sekarang ini menuntut langkah yang lebih jauh dan padu daripada itu.

Ke arah governans baru

Dalam konteks ini, kita perlu mengingatkan kembali titah SPB Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan Istana Negara pada 16 Jun 2021, bahawa negara kita memerlukan sebuah “pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.”

Kita jangan lupa bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang indah, kaya raya dan berjaya mencapai kemajuan-kemajuan besar dalam bidang ekonomi dan lain-lain.

Malaysia juga sebuah negara terkenal di mata dunia dalam peranan politik dan diplomasi antarabangsa selama banyak dekad ini.

Namun, apa yang berlaku akhir-akhir ini dari segi governans menyebabkan nama Malaysia merosot di peringkat antarabangsa manakala dalam negeri rakyat menjadi miskin menderita.

Kenyataan ini menuntut kita berfikir secara rasional dengan pandangan nasional yang mengatasi kepentingan kepartian dan partisan.

Kita juga jangan terlalu terikat dengan praktik yang jumud, dan selesa dengan yang itu juga. Maksudnya, pada analisis akhir, kita sepatutnya mampu berfikir tentang kemungkinan kerangka tadbir urus atau governans yang baru demi masa depan Malaysia yang tercinta.

Cuba kita lihat kedudukan beberapa negara dalam Covid-19 Recovery Index iaitu indeks pulih dari Covid yang dibina oleh Nikkei Asia berdasarkan kajiannya ke atas 120 negara di dunia pada 2021.

Indeks itu menunjukkan China paling berjaya pulih daripada bencana Covid dan berada pada tangga pertama di dunia dengan mata 76.5 manakala New Zealand ditangga ke-5 (66.5) dan Singapura di tangga ke-12 (66.0).

Apa yang menarik perhatian di sini ialah negara-negara ini – daripada negara yang terbesar hingga yang kecil sekalipun – melaksanakan governans yang baik, koordinasi yang kemas dan tindakan yang cekap.

Paling penting, mereka dibimbing dan ditunjangi oleh kepimpinan yang teguh dan menginspirasikan.

Mungkin ada orang akan menganggap pengalaman governans mereka khususnya China itu tegas, cekap dan konsisten, dari atas hingga ke peringkat akar umbi yang paling kecil dapat dilaksanakan kerana pentadbiran pemerintahan mereka stabil dan kukuh.

Hal ini berbeza dengan Malaysia yang tidak stabil. Namun sebenarnya keadaan kestabilan dan keutuhan itu adalah hasil governans yang baik dan cekap. Serta kebijaksanaan dan kecekapan para pemimpin yang berintegriti mengurus situasi berisiko menjadi peluang yang membina.

K'jaan baru bersifat sementara sampai PRU15

Jelaslah keadaan yang luar biasa memerlukan cara yang juga luar biasa untuk menanganinya, dan kita tidak harus membiarkan rakyat mati sedangkan hak mereka untuk hidup tidak tertunai.

Cara tadbir urus yang biasa sudah kita laksanakan tetapi ketara cara ini tidak begitu berkesan dan krisis semakin menular tanpa penghujung.

Berdasarkan keadaan ini, kita perlu berfikir secara inovatif di luar kotak dan melihat kemungkinan merangka dan melaksanakan satu governans baru bagi negara kita.

Kerangka governans baru ini ialah penubuhan sebuah kerajaan sementara bersifat caretaker sehingga PRU15. 

Kerajaan baru ini haruslah mempunyai sebuah kabinet kecil yang cekap, berkesan dan teknokratik terdiri daripada gabungan tokoh-tokoh politik berwibawa dan berintegriti rentas parti (kerajaan dan pembangkang) dan golongan teknokrat yang berintegriti dan mempunyai rekod prestasi yang cemerlang.

Kerangka governans baru rentas parti dan profesion sedemikian dijangka berupaya menyatukan seluruh negara dan mengurangkan pertarungan politik; dengan demikian memastikan pentadbiran stabil dan kukuh.

Formula governans ini dijangka boleh berfungsi dengan berkesan hasil daripada langkah memanfaatkan penglibatan tokoh-tokoh politik berwibawa pelbagai parti serta bakat besar yang berada di luar parti tetapi yang sanggup berkhidmat demi menyelamatkan negara dan rakyat.

Formula kerangka governans baru ini dikemukakan pertama kali dalam Sidang Meja Bulat anjuran Akademi Profesor Malaysia pada 3 Julai yang lalu dan mendapat sambutan yang baik.

Bagaimanakah mewujudkannya dan menjadikannya suatu kenyataan? Ada beberapa syarat dan langkah yang perlu.

Pertama, pemimpin dan pengikut parti kerajaan dan pembangkang yang bertarung tidak sudah-sudah selama ini perlu melakukan gencatan atau moratorium politik serta merta.

Mereka harus membenamkan kepentingan kepartian yang tebal, mengubah sikap serta bersedia bekerjasama dalam pemerintahan baru yang sementara sifatnya pada tempoh peralihan ini dan meletakkan negara pada landasan politik yang baru.

Kedua, setiap pihak harus sanggup bertolak ansur dan berkorban. Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sekarang harus dibubarkan, tetapi beberapa tokoh politik berwibawa daripada kalangan mereka boleh disenaraipendek untuk berkhidmat dalam kabinet baru.

Begitu juga di pihak pembangkang harus menyenarai-pendek tokoh-tokoh terbaik mereka bagi tujuan yang sama.

Ketiga, setelah mereka melakukan gencatan politik dan duduk bersemuka untuk membentuk kerajaan baru, mereka harus secara bersama berikrar menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berfungsi bagi mengatasi Covid-19 dan memulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat dengan berjaya.

Zaman k'jaan tahu segalanya dah berakhir

Untuk itu, mereka harus berusaha melantik tokoh-tokoh teknokrat terbaik untuk berkhidmat demi negara menurut pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Kerajaan harus sedar dan akur bahawa zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir. Mereka harus menghormati rakyat dan para pakar. Mereka harus mencerminkan sifat inklusif dari segi kaum, wilayah, gender dan generasi agar ia mencerminkan sifat nasional di samping mempunyai barisan pelapis yang cekap.

Mereka harus memanfaatkan sumbangan para ilmuan pelbagai bidang dengan bekerjasama dengan organisasi mereka agar input profesional dari luar dapat dikemukakan dan dipertimbangkan.

Keempat, proses penubuhan kerajaan baru yang bersifat sementara ini harus dilaksanakan dengan kerjasama erat serta mendapat restu, nasihat dan bimbingan SPB Yang di-Pertuan Agong.

Sinergi antara perwakilan Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berperlembagaan dalam sistem Malaysia yang unik ini harus dibangun dan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Di mana perlu khasnya pada detik-detik yang sukar, Yang di-Pertuan Agong menjadi tempat yang dirujuk untuk meluruskan yang rumit dan memfasilitasi kemunculan struktur governans baru ini.

Sesungguhnya inilah masa untuk memperlihatkan kematangan dan sifat negarawan ahli-ahli politik semua.

Benamkan kepentingan peribadi, sifat ego dan sikap partisan dan kepuakan masing-masing.

Berilah yang terbaik untuk menyelamatkan negara dan rakyat demi hari depan kita generasi kini dan generasi akan datang.


PROFESOR EMERITUS DR ABDUL RAHMAN EMBONG merupakan Felo Akademi Profesor Malaysia & Ketua Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional Akademi Profesor Malaysia

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.