Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hospital HTAR Klang akhirnya terima sumbangan kontena mayat

MIC akhirnya berjaya menyumbangkan sebuah kontena penyimpanan mayat kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor.

Ini susulan pendedahan bahawa hospital itu menghadapi kekangan sumber untuk merawat pesakit Covid-19 yang semakin meningkat serta ruang untuk menyimpan mayat.

HTAR mengakui sumbangan parti komponen BN itu di laman Facebooknya hari ini.

"Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada MIC pusat di atas sokongan dan dukungan menyumbang kontena mayat kepada HTAR dalam menguruskan pandemik Covid-19 di Daerah Klang khasnya dan negeri Selangor Darul Ehsan amnya, " katanya.

Sumbangan MIC itu pada mulanya ditolak.

Semalam, seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Azhar Osman menyiarkan video di akaun TikTok yang mendakwa Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi menolak sumbangan kontena tersebut.

Kecewa dengan perkara itu, Mohd Azhar berkata alasan yang diberikan adalah pihak hospital dijadual menerima kontena pada hari berikutnya.

"Kita telah beli ni, RM35,000 harga ni untuk kita bagi kepada pihak hospital. Kita nak bantu dekat hospital

"Tapi mula-mula kata ok, lepas 3 jam pengarah hospital tolak pula, dia kata esok akan ada 8 kontena datang,”katanya.

Video itu kemudian dipadamkan dan Azhar menyiarkan video baru mengatakan perkara itu selesai berikutan campur tangan oleh Kementerian Kesihatan.

"Akhirnya container kita dibenarkan masuk. Kita park di sini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KKM, ketua setiausaha kementerian, Menteri (Kesihatan) Adham Baba dan pengarah hospital kerana mempermudahkan urusan kita untuk membantu," jelasnya.

Ketika dihubungi, Adham mengesahkan perkara itu telah selesai.

Walaupun pada awalnya tidak jelas bahawa sumbangan itu datang dari MIC, pengakuan HTAR hari ini menjelaskan perkara itu setelah ia berkongsi video Azhar ketika mengucapkan terima kasih kepada parti politik berkenaan.