Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Premis Lazada George Town ditutup untuk tingkatkan SOP'

Platform jualan dalam talian, Lazada Malaysia menjelaskan tidak ada kes Covid-19 berlaku di premis Lazada Express di George Town, Pulau Pinang, setelah gambar mengenai notis penutupannya tersebar di media sosial.

"Pada hujung minggu, kami menyedari salah faham daripada orang awam mengenai penutupan fasiliti logistik Lazada Express George Town.

"Kami ingin memberikan penjelasan bahawa tidak ada kes Covid-19 di fasiliti logistik George Town.

"Fasiliti tersebut ditutup dari 9 Julai untuk meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan panduan daripada pegawai kesihatan mengenai langkah-langkah keselamatan tambahan," kata Lazada Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Lazada juga menegaskan penutupan fasiliti berkenaan tidak menjejaskan penghantaran barangan di kawasan itu.

Syarikat itu berkata, mereka kekal dengan komitmen untuk memastikan protokol dilakukan secara menyeluruh.

Antara langkah meningkatkan SOP sedia ada yang menjadi keutamaan Lazada termasuk pendaftaran kesihatan harian dan pemeriksaan suhu, menjaga penjarakan fizikal pada setiap masa, mewajibkan penggunaan alat pelindung diri, mengurangkan tenaga kerja mereka dan melakukan disinfeksi secara rutin.

Syarikat itu berkata, Lazada Express George Town juga telah berbincang dengan pihak berkuasa untuk terus meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

Terdahulu notis dari Kementerian Kesihatan menyatakan Lazada Express di George Town akan ditutup dari 9 Julai hingga 15 Julai untuk tujuan "menjalankan kerja-kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit".