Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

3 lagi anggota polis di Kelantan direman bantu siasatan SPRM

Tiga lagi anggota polis direman bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes seorang pegawai kanan pasukan keselamatan itu didakwa meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Mereka terdiri daripada anggota berpangkat sarjan, koperal dan lans koperal dan berumur lingkungan 30-an hingga 40-an itu direman selama empat hari hingga Khamis ini selepas Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu Nor Faezah Abdullah mengeluarkan perintah itu di Kota Bharu hari ini.

Perintah tahanan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas ditahan di pejabat SPRM selepas memberi keterangan, petang semalam.

Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain mengesahkan penahanan ketiga-tiga anggota polis terbabit.

Di mahkamah yang sama, Nor Faezah turut mengeluarkan perintah lanjutan reman ke atas seorang pegawai kanan berpangkat asisten superintendan polis (ASP) yang berakhir hari ini.

Mahkamah membenarkan ASP terbabit ditahan selama empat hari lagi.

Pada Jumaat dan Sabtu lepas, Bernama melaporkan dua pegawai kanan masing-masing berpangkat ASP dan deputi superintendan, kedua-dua berumur 48 tahun, direman berhubung kes tersebut.

Pengawai kanan berpangkat ASP itu didakwa meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah berkenaan manakala pegawai berpangkat DSP direman bagi membantu siasatan kes yang sama.

- Bernama