Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wad Covid-19 HTAR terima katil tambahan hari ini

Wad Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Kelang akan menerima 151 katil tambahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kemudahan itu sebanyak 606 buah.

Ketua Setiausaha KKM Mohd Shafiq Abdullah berkata bagi wad Covid-19 unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 pula, kapasiti katil rawatan sedia ada di HTAR akan ditingkatkan daripada 51 kepada 72 katil dalam masa terdekat.

“KKM telah menambah beberapa fasiliti yang kritikal yang telah ditularkan sebelum ini (di media sosial) mengenai kawasan kecemasan seolah-olah dibiarkan, tetapi itu proses biasa untuk mengalih pesakit-pesakit ke wad-wad dan ia mengambil masa sedikit.

“Hasil lawatan saya ke HTAR, didapati jumlah bilangan katil Covid-19 -19 telah bertambah,” katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan kerja ke HTAR semalam.

Dalam kenyataan sebelum ini, HTAR memaklumkan hospital itu mengubah fungsi asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian menjadi wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 bermula Jumaat lepas.

Mengenai aspek peruntukan peralatan perubatan tambahan dalam menangani Covid-19, Mohd Shafiq berkata KKM setakat ini mengagihkan RM747 juta di bawah perolehan darurat bagi fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Di Selangor saja lebih RM100 juta telah diberikan. Urusan-urusan perolehan ini haruslah cepat, tidak boleh mengikut proses biasa dan kami berterima kasih kepada Perbendaharaan yang memberi kelulusan khas,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dr Sha'ari Ngadiman berkata HTAR masih dikekalkan status sebagai hospital hibrid memandangkan ia adalah hospital rujukan negeri.

Katanya keseluruhan hospital yang ada di Selangor masih mampu untuk menerima kes, sama ada kes Covid-19 atau bukan, dan institusi perubatan negara sentiasa dalam keadaan bersiap siaga.

- Bernama