Sultan Selangor dukacita terpaksa hadkan fungsi masjid, surau
Ada dua perkara yang sangat mendukacitakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila wabak Covid-19 terus menjadi ancaman kepada orang ramai.
Pertama kata baginda apabila terpaksa terus mengehadkan fungsi masjid dan surau di seluruh negeri; dan kedua melihat peningkatan angka kematian akibat Covid-19.
Titah Sultan Sharafuddin sebenarnya masjid di Selangor tidak pernah ditutup, dan bukan mudah untuk baginda menitahkan agar kehadiran jemaah untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat dihadkan.
"Keputusan ini diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data serta statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Selangor," kata kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.
Sehingga 9 Julai lalu, kata kenyataan itu, Selangor merekodkan 1,933 kematian dengan 4,400 kes jangkitan baru.
Beberapa minggu sebelum Ramadan lalu, kata Istana Alam Shah, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat di masjid Selangor, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baru.
"Baginda kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas.
"Baginda sendiri tidak sanggup lagi melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan," katanya.
Justeru kata Istana Alam Shah walaupun berat hati, Sultan Sharafuddin masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah demi keselamatan seluruh umat Islam di Selangor.
Baginda juga menegaskan, kesan daripada penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.
"Apatah lagi, Selangor sehingga kini masih merupakan negeri dengan catatan kes baru dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu," katanya.
Sekiranya jumlah kes jangkitan baru terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, kata Sultan Sharafuddin, masjid dan surau akan dibuka kembali seperti biasa.
"Sehingga itu terjadi, baginda mahu seluruh umat Islam di Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah agar menghapuskan wabak berbahaya ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai