Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua pegawai direman SPRM: Polis Kelantan beri kerjasama penuh

Polis akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap dua pegawai kanan pasukan itu yang kini direman kerana disyaki terlibat rasuah.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata pihaknya juga akan menjalankan siasatan dalaman selari dengan SPRM bagi membantu siasatan kes itu.

"Saya juga menyeru warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengelakkan diri daripada perbuatan rasuah kerana ia boleh meruntuhkan dan merosakkan imej, malah hilang keyakinan rakyat terhadap polis," katanya.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa hari ini.

Semalam, seorang pegawai kanan polis berpangkat deputi superintendan polis direman lima hari bagi membantu siasatan susulan penahanan seorang pegawai berpangkat asisten superintendan yang disyaki meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Ditanya tindakan polis terhadap kedua-dua pegawai yang berusia 48 tahun itu, Abdullah berkata buat masa ini mereka ditahan kerja.

Sekiranya didapati bersalah serta dijatuhi hukuman oleh mahkamah, katanya, maka PDRM akan menamatkan perkhidmatan mereka.

"Apabila dijatuhi hukuman di mahkamah, PDRM akan gantung kerja mereka terlebih dahulu dan seterusnya penamatan perkhidmatan," katanya.

Berhubung perkembangan penemuan mayat reput dan berkecai dekat Pasir Puteh pada 3 Julai lalu, Abdullah berkata PDRM masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka siap dalam seminggu atau dua minggu ini.

"Setakat ini, polis belum kenal pasti identiti mayat itu. Justeru polis menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil melaporkan kepada kami," katanya.

- Bernama