Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wad ubah suai di kawasan pesakit luar, rumah doktor pelatih

Beberapa hospital kerajaan telah mengubah suai rumah doktor pelatih dan kawasan pesakit luar menjadi wad untuk menampung katil.

Ini kerana lonjakan kes Covid-19 sedang membanjiri sistem penjagaan kesihatan awam.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara hospital yang berbuat demikian termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

"Kami telah menukar tempat ACC (Pusat Rawatan Harian), HO (kuarters kerajaan untuk doktor pelatih) dan menyediakan lebih banyak katil untuk menampung lonjakan kes yang mendadak," katanya kepada Malayiakini.

Pusat Rawatan Harian (ACC) merujuk kepada kawasan hospital yang menyediakan rawatan pesakit luar.

Ini dilakukan selain langkah menghantar pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah sebelum ini mendirikan katil sementara di luar hospital kerana dibanjiri pesakit.

Sejak itu katil berkenaan telah dipindahkan ke dalam bangunan.

Noor Hisham menjawab soalan mengenai apakah pesakit Covid-19 di Lembah Klang akan dipindahkan ke negeri lain untuk menghilangkan tekanan terhadap kemudahan kesihatan yang tertekan.

Dia berkata ini "tidak benar" kerana tindakan diambil di hospital masing-masing.

Pada 8 Julai, Angkatan Tentrea Malaysia (ATM) juga membantu menyiapkan wad kecemasan di parkir Hospital Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk mengatasi masalah beroperasi di luar kapasiti sedia ada.

Lembah Klang menghadapi lonjakan kes Covid-19 walaupun dengan sekatan pergerakan penuh, melalui pelaksanaan PKPD di Kuala Lumpur dan di sebahagian besar mukim Selangor.

Kes harian meningkat tinggi semalam dengan Selangor menyaksikan lebih 4,000 jangkitan baru.

Pun begitu, kerajaan telah mula membenarkan kompleks beli-belah dibuka semula.

Isetan dan Sogo antara kompleks beli-belah yang mengumumkan pembukaan semula mulai semalam.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.