Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Langkah Umno lawan PM: Apa yang perlu anda tahu?

Kemelut politik tercetus minggu ini dengan Umno berada di tengah-tengah kancah krisis. Ini berlaku pada saat negara terus bergelut dengan peningkatan kes Covid-19.

Dengan perkembangan yang tersebar dalam beberapa hari dan bahkan lebih banyak penulisan, sukar untuk menjejaki setiap pergerakan di atas papan catur politik.

Malaysiakini menghuraikan perkara yang perlu diketahui pembaca.

Apa yang berlaku?

Majlis tertinggi Umno memutuskan pada awal pagi Khamis untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Langkah itu dibuat kurang dari 12 jam setelah Muhyiddin melantik Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri - tindakan yang sepatutnya dapat menenangkan parti itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin adalah kegagalan dalam pelbagai bidang, termasuk tindak balas menangani Covid-19, dan mendesak perdana menteri untuk mengundurkan diri.

Zahid juga menggesa pelantikan perdana menteri sementara untuk memfokuskan usaha vaksinasi dan membawa negara keluar daripada wabak ini.

Adakah ini bermaksud kerajaan telah runtuh?

Tidak. Ini kerana pelbagai sebab.

Pertama, Peguam Negara Idrus Harun mengatakan kehilangan sokongan majoriti hanya boleh dibuktikan oleh ahli parlimen, bukan dengan kenyataan media. Sehingga itu, katanya Muhyiddin akan terus berkuasa.

Kedua, Majlis Tertinggi Umno tidak mengeluarkan arahan supaya menterinya berundur daripada jawatan kerajaan.

Umno hanya menarik sokongan terhadap Muhyiddin, bukan kerajaan PN seperti yang dinyatakan oleh bekas presiden Umno Najib Razak.

Ini mengurangkan kemungkinan pilihan lain, menunjukkan Umno mungkin berusaha untuk mengambil alih kepemimpinan kerajaan tanpa perubahan drastik kepada parti-parti dalam gabungan pemerintah.

Oleh itu, adakah semua ahli parlimen Umno menyokong?

Tidak. Sebilangan besar ahli parlimen Umno berpihak kepada Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.

Ahli parlimen ini nampaknya berada di belakang kenyataan yang mendakwa bahawa semua Ahli Parlimen BN menyokong Muhyiddin untuk terus menjadi perdana menteri - yang telah dipertikaikan oleh Najib.

Anehnya, walaupun Majlis Tertinggi Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin, namun ahli-ahli parlimen Umno bebas memilih untuk menggunakan budi bicara mereka ketika mengundi di parlimen.

Suatu rakaman pertemuan Majlis Tertinggi Umno yang bocor menunjukkan Zahid berkata ahli parlimen mempunyai budi bicara untuk mengundi usul percaya perdana menteri di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, bagaimanapun, mengatakan ahli parlimen Umno harus menggunakan keputusan parti sebagai panduan.

Sementara itu, rakan-rakan Umno dalam BN, MIC dan MA juga teguh menyokong Muhyiddin terus memimpin kerajaan PN.

Apa pun, hanya segelintir ahli parlimen Umno yang perlu berpaling tadah untuk memastikan Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti.

Pun begitu penganalisis Wong Chin Huat berkata hal itu hanya akan mengakibatkan Muhyiddin menjadi ketua sebuah kerajaan minoriti dan bukannya dikeluarkan dari Putrajaya.

Dengan kata lain Muhyiddin tidak dapat disingkirkan tanpa ganti calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Apabila Zahid menolak ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan kerjasama dengan DAP, Umno masih tidak ada majoriti untuk membentuk kerajaan bau.

Apa kata pembangkang?

Beberapa ahli parlimen pembangkang menuntut Muhyiddin untuk mengundurkan diri susulan penarikan sokongan Umno terhadapnya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan mempertikaikan pendapat peguam negara bahawa Muhyiddin boleh terus menjalankan tugas sebagai perdana menteri.

Majlis Presiden PH berkata, Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun PH tidak menyebut siapa yang sepatutnya menggantikan Muhyiddin bagi jawatan itu.

Sebaliknya gabungan itu berkata ia akan memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat dan menangani Covid-19.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad juga menegaskan pendirian Pejuang yang tidak mahu terlibat dalam kerenah politik yang sedang hangat kini, sebaliknya memberi tumpuan untuk memulihkan keadaan rakyat terjejas gara-gara Covid-19 yang semakin menampakkan peningkatan.

Apa selepas ini?

Tidak jelas sama ada usul undi percaya perdana menteri akan diadakan sebaik sahaja parlimen bersidang pada 26 Julai.

Percubaan sebelum ini untuk mengadakan undian undi percaya perdana menteri telah disekat oleh Speaker Azhar Azizan Harun.

Namun, jika rang undang-undang utama kerajaan di Dewan Rakyat kalah undian maka ia dapat diterjemahkan sebagai undi tidak percaya.

Setelah itu, perdana menteri perlu membubarkan parlimen atau mengundurkan diri berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya Muhyididn meletak jawatan tetapi tidak ada yang memiliki majoriti yang jelas untuk mengetuai kerajaan, Agong boleh melantik perdana menteri daripada mana-mana ahli parlimen yang menguasai blok terbesar di Dewan Rakyat untuk mengetuai kerajaan minoriti.

Oleh itu, siapa mahu Umno menjadi PM sementara?

Zahid dalam kenyataannya tidak menyebut siapa yang perlu menjadi perdana menteri sementara.

Namun, dia berkata Umno tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menaikkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Meskipun demikian, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Zahidi Zainul, yang berpihak kem pro-PN, percaya tindakan parti itu kini membuka peluang bagi Anwar untuk mengambil alih Putrajaya.

Dia menyebut dakwaan SD menyokong Anwar yang dikatakan didapatkan dengan bantuan Zahid.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata Ismail Sabri Yaakob boleh menjadi pemangku perdana menteri sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan.