Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas IGP sekali lagi fail permohonan batal saman fitnah Yeoh

Bekas ketua polis negara (IGP) Musa Hassan sekali lagi memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh terhadapnya.

Dalam permohonan kedua ini, Musa berkata ia dibuat kerana saman Yeoh bersamaan dengan penyalahgunaan proses mahkamah, ekoran telah membuat satu rayuan berbeza selepas mahkamah membatalkan saman awalnya terhadap Musa.

Pada 3 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman Yeoh atas sebab teknikal tetapi dengan kebebasan untuk memfailkannya semula.

Bagaimanapun tujuh hari kemudian, pasukan peguamnnya memfailkan satu Notis Rayuan di Mahkamah Rayuan, menyasarkan keputusan tersebut yang dibuat hakim Rozana Ali Yusoff.

Menurut undang-undang, jika rayuan itu berjaya, saman pertamanya akan dikembalikan.

Ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, peguam Musa, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengesahkan permohonan bekas IGP itu untuk membatalkan saman Yeoh.

Dia mendakwa Yeoh bukan saja membuat pemfailan baru di Mahkamah Tinggi, tetapi pada masa sama membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung pembatalan saman awalnya.

"Bagi kami, ini salah guna proses mahkamah. Ini sebab utama anak guam saya mengarahkan saya untuk membuat permohonan baru untuk membatalkan saman (yang difailkan semula)," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Yeoh, Lim Wei Jiet mengesahkan rayuan yang dibuat di Mahkamah Rayuan.

Lim berkata pihaknya akan memberi respons menerusi afidavit bagi membalas permohonan Musa.

Pada 3 Julai tahun lalu, Yeoh memfailkan saman berkenaan ucapan Musa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Jan tahun itu.

Ucapan itu disampaikan dalam sebuah forum bertajuk "Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”.

Musa didakwa antara lain telah mencadangkan DAP telah menerbitkan sebuah buku mengenai peranan orang Melayu di sebalik peristiwa rusuhan 13 Mei..

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman yang dilihat Malaysiakini ketika itu, Yeoh mendakwa ucapan itu mengandungi kenyataan fitnah yang "sama sekali tidak benar; merendahkan, menyusahkan, palsu, salah dan tanpa asas."