Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH Melaka gesa segerakan vaksinasi bersasar

Pakatan Harapan (PH) Melaka menggesa kerajaan tidak melengahkan proses vaksinasi untuk rakyat di negeri itu.

Gesaan itu dibuat dalam kenyataan bersama Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari, Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew dan Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik hari ini.

Menurut mereka, rakyat di negeri itu mempunyai kesedaran yang tinggi dan kini lebih 80 peratus telah mendaftar untuk menerima vaksin.

Namun, menurut mereka, hanya seramai 169,781 atau 18.2 peratus penduduk telah menerima suntikan dos pertama mereka dan seramai 78,319 atau 8.4 peratus menerima suntikan kedua.

"Kadar pemberian vaksin bagi Negeri Melaka pada 6 Julai adalah antara yang terendah dan lambat iaitu hanya 8,435 dos sahaja berbanding Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

" Dari segi peruntukan vaksin bagi bulan Julai, Melaka menerima sebanyak 364,829 dos. Minggu pertama Julai diperuntukkan 73,768 dos vaksin. Namun dari 1 hingga 6 Julai, hanya 31,447 dos vaksin sahaja digunakan dan berbaki 42,321 dos peruntukan minggu pertama bulan Julai,” kata PH Melaka.

Gabungan itu berkata dengan penerimaan sumbangan satu juta dos vaksin Astrazeneca daripada Jepun dan satu juta dos vaksin Pfizer daripada Amerika Syarikat baru-baru ini, Melaka sepatutnya mendapatkan tambahan vaksin sebanyak 65,000 dos.

"Sebagai negeri pelancongan, ekonomi Negeri Melaka bergantung kepada sektor perkhidmatan.

“Lockdown yang berterusan akan memangsakan rakyat dalam jangka panjang. Justeru itu, vaksinasi adalah salah satu jalan keluar terbaik, di samping pembukaan semula sektor ekonomi secara bersasar dengan pematuhan SOP yang berkesan.

"Untuk itu juga, Melaka wajar menstruktur semula keutamaan penerima vaksin khususnya untuk mereka yang bekerja di sektor perkilangan, keusahawanan dan perkhidmatan kerana mereka lebih terdedah untuk dijangkiti dan menjangkiti orang lain terutama yang berkaitan dengan kes penyebaran Covid-19 sporadik.”

Justeru itu PH Melaka menggesa kerajaan bertindak segera walaupun “nasi sudah menjadi bubur”.

"Kita bukanlah berusaha untuk menang dalam melawan Covid-19, tetapi apa yang kita harus lakukan adalah menjaga kesihatan rakyat dengan adil dan saksama, di samping kembali memberi ruang kepada rakyat mencari sesuap nasi," tambahnya.