Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pendaftaran Pejuang akhirnya diluluskan

Parti Pejuang telah didaftarkan sebagai parti yang sah,  kata Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingin umumkan bahawa parti Pejuang ini telah didaftarkan. Sebagai parti politik kita berterima kasihlah kepada kerajaan yang mendaftar parti Pejuang ini dan kami berpendapat bahawa cara kami bukanlah untuk menimbulkan masalah, cuma kita buat melalui undang-undang.

“Tak ada sebab kenapa kami tak boleh didaftar.

“Jadi akhirnya, parti Pejuang ini sudah didaftar, dan mereka yang ingin menyertai Pejuang, mereka dialu-alukan, bolehlah buat permohonan, dan saya harap kita akan lebih cergas selepas ini,” katanya dalam satu sidang media dalam talian hari ini.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum ini tidak melayan permohonan Pejuang, namun setelah parti itu membawa isu berkenaan ke mahkamah sejak tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat keputusan dalam masa 14 hari.

Pendaftaran Pejuang diluluskan hari ini, yang merupakan hari terakhir tempoh 14 hari yang diberikan mahkamah.

“Kelulusan adalah dari menteri (dalam negeri) dan pengarah ROS,” kata Mahathir.

Pejuang memiliki empat ahli parlimen termasuk Mahathir yang merupakan wakil rakyat Langkawi.

Muda juga tuntut parti disahkan

Susulan itu, Parti Ikatan Demokratik (Muda) turut menggesa ROS untuk mempercepat kelulusan pendaftaran ke atas parti Muda.

Meskipun menyambut baik kelulusan ke atas Pejuang oleh ROS, Setiausaha Agung Penaja Muda, Amir Abd Hadi mengingatkan yang kelulusan itu hanya diberikan selepas tempoh masa panjang dan terpaksa dibawa ke mahkamah.

Oleh hal yang demikian, Muda menggesa agar Akta Pertubuhan 1966 dipinda, selari dengan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Buat masa ini, undang-undang itu tidak memperuntukkan tempoh masa tertentu bagi meluluskan pendaftaran sesuatu persatuan, dan memberikan kuasa yang terlalu besar kepada Menteri Dalam Negeri ke atas perkara berkenaan.

Ia turut tidak memerlukan ROS memberikan sebab penolakan kepada pendaftaran sesuatu persatuan, kata Amir.