Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KPDNHEP Kelantan rampas minyak masak seludup bernilai RM14,025

Tindakan penyeludup menggunakan jenama minyak masak milik syarikat lain antara modus operandi mereka ketika cuba menyeludup barangan kawalan itu dari Kelantan ke Thailand.

Bagaimanapun, cubaan menyeludup 5,610 kilogram minyak masak yang dianggarkan bernilai RM 14,025 ke negara jiran itu gagal apabila taktik berkenaan dipatahkan pihak berkuasa semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri, berkata tiga kenderaan membawa muatan barang kawalan berkenaan ditahan dalam operasi yang bermula jam 3 petang semalam.

Katanya, serbuan itu dibuat selepas pihaknya mengekori penyeludup berkenaan yang keluar dari premis pembungkus minyak masak di Tendong, Pasir Mas.

Azanizam berkata, dalam operasi bersepadu dengan kerjasama Pasukan Batalion 7 Gerakan Am (PGA7) itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki disyaki pemandu van dan kereta terbabit.

“Ketiga-tiga buah kenderaan yang ditahan telah diperiksa oleh pasukan serbuan dan berjaya menemui minyak masak paket 1kg bersubsidi di dalam dua buah Van Toyota Hiace dengan anggaran sebanyak 5100 kilogram dan anggaran sebanyak 510 kilogram di dalam kenderaan Proton Saga.

“Nilai rampasan keseluruhan barangan kawalan dianggarkan sebanyak RM 14,025 manakala nilai kenderaan yang disita sebanyak RM 100,000,”katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan dan pemandu kenderaan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDNHEP Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana peniaga yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barangan subsidi yang diberikan kepada rakyat negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini tanpa kompromi,”jelasnya.