Bila Zahid akui PN gagal, Umno pun gagal sama, kata Loke
Sekarang bukan masa yang sesuai untuk membabitkan Pakatan Harapan ketika Perikatan Nasional bergelut cuba menyelamatkan kerajaannya berikutan Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata demikian mengulas pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tengah malam tadi.
Loke berkata krisis yang berlaku ini berpunca oleh tindakan PN sendiri selepas merampas kuasa daripada kerajaan PH melalui Langkah Shreraton pada Februari tahun lalu.
"Ini adalah masalah dalaman PN. Mereka pecah kerana tidak dapat bekerjasama. Ini adalah masalah yang disebabkan oleh PN.
"Pada tahap ini, kita tidak boleh melibatkan Pakatan Harapan dan DAP," katanya kepada wartawan di Seremban hari ini.
Selain mengumumkan gesaan supaya Muhyiddin berundur sebagai perdana menteri, Zahid juga menegaskan pendirian Umno untuk tidak menyokong sebarang usaha mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH.
Loke yang juga ahli parlimen Seremban mengambil maklum Zahid, dalam ucapannya, berulang kali menyebut PN sebagai kerajaan yang gagal.
"Umno juga mesti sama-sama mengambil tanggungjawab kerana ia sebahagian daripada kerajaan PN.
"Sekiranya dia mengakui bahawa kerajaan PN telah gagal, itu bermakna Umno juga telah gagal," katanya.
Umno mempunyai 38 ahli parlimen tetapi ramai dikatakan tidak bersetuju tindakan Zahid untuk keluar daripada kerajaan PN.
Pun begitu, dengan Muhyiddin hanya menguasai majoriti empat kerusi, sebilangan kecil daripada 38 ahli parlimen Umno sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan PN.
Loke berkata siapa yang akan menjadi perdana menteri seterusnya atau membentuk kerajaan adalah perkara lain.
Buat masa ini, dia berkata Muhyiddin perlu mengundurkan diri kerana dia sudah kehilangan kawalan majoriti anggota Dewan Rakyat.
Katanya, jika Muhyiddin masih menolak untuk mengundurkan diri, tanpa majoriti di parlimen dia tidak akan dapat meneruskan agenda kerajaan di Dewana Rakyat.
"Dia tidak lagi memiliki kewenangan untuk kekal sebagai perdana menteri," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai