Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenang nasib anak OKU, bapa gantung bendera putih

Bimbang anak-anaknya kelaparan jika terputus bekalan makanan, seorang bapa kepada empat orang anak nekad menggantung bendera putih di hadapan rumahnya di Nilam Puri, Kota Bharu, sejak beberapa hari lalu.

Menurut Hassan Dollah, 52, apa yang paling membimbangkanmadalah salah seorang anaknya yang tergolong dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan susu dan lampin pakai buang setiap hari.

Katanya, dia yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja buat sementara sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

“Saya mengambil keputusan untuk angkat bendera putih apabila memikirkan anak-anak saya supaya mereka tidak kelaparan kerana buat masa sekarang saya tidak boleh mencari duit untuk menyara mereka.

“Kerisauan ini ditambah apabila memikirkan salah seorang anak saya yang OKU kerana dia memerlukan susu dan lampin pakai buang untuk kelangsungan hidup dan bendera putih memang bantu anak OKU saya.

“Alhamdulillah, selepas angkat bendera, ada individu yang saya tak kenali datang hantar bantuan barangan dapur dan jiran-jiran memberi sedikit duit untuk belanja.

“Jadi, dengan duit itu, saya dapat membeli barang keperluan lain bersama susu dan kain lampin pakai buang apabila orang ramai hulurkan bantuan ini,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya, hari ini.

Hassan menjelaskan, anak istimewanya yang berusia 18 tahun itu mengalami kecatatan otot sejak kecil.

Tambahnya, dia mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan tetapi buat masa sekarang, ia tidak mencukupi kerana wang simpanannya telah habis akibat tidak boleh bekerja.

“Sudah beberapa hari saya gantung bendera ini dan Alhamdulillah orang ramai banyak membantu saya walaupun kadang-kadang ada yang saya tak kenal pun.

“Kalau dahulu, kadang-kadang susah untuk makan kerana tidak dapat membeli minyak masak untuk sediakan makanan kerana kekurangan wang simpanan.

“Tapi, buat masa sekarang, insya Allah bekalan makanan mencukupi selepas dibantu dan saya akan menurunkan bendera ini kerana niat saya bukan untuk ambil kesempatan. Saya benar-benar terdesak, lagi-lagi memikirkan nasib anak kerana kami suami isteri tak kerja sekarang,”katanya.

Ujarnya, dia sangat bersyukur dengan inisiatif bendera putih kerana bantuan yang diterima sampai dengan segera oleh orang ramai dan jiran-jiran terdekat.

“Saya berterima kasih kepada jiran-jiran dan orang ramai yang prihatin terhadap nasib saya dan berharap agar semuanya kembali seperti biasa secepat mungkin untuk saya kembali bekerja dan dapat menyara keluarga saya seperti dahulu kembali,”jelasnya lagi.

Mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi Hassan di talian 01116545413 .