Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kibar bendera putih bukan budaya orang Kelantan - exco

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan, Mumtaz Md Nawi, menjadi pemimpin terkini PAS yang tidak senang dengan inisiatif bendera putih yang digerakkan massa.

Kata Mumtaz amalan mengangkat bendera putih untuk meminta bantuan bukanlah budaya masyarakat Kelantan.

Menurut Adun Demit itu, perbuatan mengangkat bendera putih - sebagai isyarat mereka berdepan kesempitan hidup - adalah budaya baru dan boleh menyebabkan salah faham dalam pengagihan bantuan kerana mungkin ada pihak mengambil kesempatan.

"Jika hanya satu rumah yang kibar bendera putih, ia tidak menjadi masalah. Mungkin orang ramai boleh bagi bantuan tanpa soal jawab.

"Tapi bayangkan kalau semua rumah angkat bendera putih, hari ini kita bagi bantuan, esok pun masih tak turun-turun bendera putih... macam mana?" katanya.

Justeru kata Mumtaz untuk mendapatkan bantuan orang yang kesempitan perlu kembali kepada sistem asal iaitu memaklumkan masalah kepada jiran tetangga atau wakil keluarga.

Ada program Jack

Jiran atau ahli keluarga itu pula, katanya, akan menyampaikan khabar tersebut kepada imam mukim dan penghulu serta pemimpin-pemimpin tempatan.

“Kita kena balik kepada sistem yang asal, kena maklumlah kepada jiran tetangga dan orang tempatan, dan pentingnya sistem wali atau sistem keluarga yang sebenarnya boleh pergi maklum kepada tok imam dan tok penghulu.

“Dan, jika memerlukan bantuan atau tindakan segera, mereka yang ingin dibantu ini juga boleh maklum kepada pemimpin-pemimpin tempatan,” katanya.

Mumtaz menjelaskan hal itu dalam perkongsian Bicara Siasah di Facebook yang membincangkan peranan khidmat komuniti dalam pandemik Covid-19, semalam.

Dia yang juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kelantan sebelum itu ditanya berkenaan isu kesusahan dan kemiskinan rakyat yang menyebabkan pengibaran bendera putih dilakukan oleh sesetengah pihak.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan beberapa pemimpin PAS lain turut tidak bersetuju dengan tindakan orang ramai mengibarkan bendera putih bagi mendapatkan bantuan ketika PKP.

Pada Jun lalu, kata Mumtaz, sudah ada inisiatif kerajaan memastikan tiada golongan tercicir daripada mendapat bantuan untuk mengelakkan isu seumpama kibaran bendera putih timbul.

Katanya bantuan itu dikenali sebagai projek Jejak Amal Covid-19 Komuniti (Jack) bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 sehingga wujud kumpulan 'asnaf segera'.

Untuk rekod, kerajaan Kelantan memberi peruntukan berjumlah RM450,000 dalam projek Jack bagi memastikan bantuan dihantar kepada yang memerlukan.

Mumtaz juga mendakwa ada beberapa kes bendera putih meragukan dikesan di Kelantan.

“Beberapa kes kalau kita tengok di Kelantan, jika kita tanya kenapa angkat bendera putih, mereka kata, ada pihak yang suruh letak walaupun keperluan asas sudah ada,” jelasnya lagi.