Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sidang parlimen 5 hari nanti akan ada perbahasan, undian - Pegawai PM

Pegawai kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata ahli parlimen akan dapat berbahas dan mengundi semasa sidang parlimen khas akan datang yang berlangsung selama lima hari.

Pun begitu, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Marzuki Mohamad tidak menyatakan apakah perkara dalam agenda yang akan dibahaskan dan diundi di Dewan Rakyat nanti.

Ini selepas kebimbangan sidang parlimen dari 26 Julai ke 2 Ogos itu hanya semata-mata terbatas pada "taklimat" oleh kerajaan tanpa pengundian proklamasi darurat dan ordinan darurat.

Ditanya mengenai kebimbangan ini semasa webinar pagi tadi, Marzuki menjawab perbahasan dan pengundian akan dibenarkan.

Agenda terperinci akhirnya akan diserahkan kepada perdana menteri, katanya.

"Mengenai agenda sidang parlimen akan datang, saya tidak mahu terlalu cepat mendahului kerana perdana menteri adalah ketua majlis (mesyuarat Dewan Rakyat) yang akan menetapkan agenda.

"Tetapi saya fikir akan ada perbahasan dan akan ada undian.

"(Adapun) mengenai agenda khusus itu, saya yakin PM akan memutuskan dan pemberitahuan akan diberikan kepada semua anggota parlimen," jawabnya.

Pertanyaan tersebut mengenai Pelan Pemulihan Negara Covid-19, proklamasi darurat, dan ordinan darurat. 

Marzuki (gambar, bawah) tidak menyatakan secara khusus hal berkenaan dalam maklum balasnya.

Dia juga berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) juga akan dibenarkan untuk bermesyuara selama lima hari.

Dua badan tersebut - Jawatankuasa Pilihan Khas Kira-kira Wang Negara dan PSC mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi - telah mengumumkan rancangan untuk bersidang.

Ketika webinar sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said memuji Putrajaya atas kenyataan Marzuki itu.

"Marzuki telah menekankan akan ada perbahasan (dan) akan ada pengundian. Saya rasa inilah yang sepatutnya. Kami menangani hal ini dengan kaedah dan tindakan yang jelas.

"Sekiranya kerajaan yakin melakukan tugasnya dengan baik, ia akan dapat dijelaskan dengan sendirinya dan biarkan rakyat memutuskan.

"Untuk bersikap adil, kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin dengan kekangan yang kita hadapi selama wabak ini.

"Jadi saya rasa komunikasi dua hala akan sangat baik untuk rakyat (bukan) komunikasi sehala,” kata Azalina yang juga ahli parlimen Umno Pengerang.

Gambar fail, Timbalan Speaker Azalina Othman Said.

Kekhawatiran mengenai sidang parlimen akan datang itu timbul setelah pengumuman Pejabat Perdana Menteri pada 5 Julai lalu tidak menyebut mengenai perbahasan.

Berdasarkan kenyataan PMO, perkara yang akan "dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen" adalah seperti berikut:

  • Pengisytiharan Darurat
  • Ordinan Darurat (Kuasa Penting) 2021
  • Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Kuasa Penting) (No. 2) 2021
  • Ordinan Darurat (Kuasa Penting) (Pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Tabung Amanah Negara) (Pindaan) 2021

Terdapat juga kebimbangan tempoh persidangan yang akan datang terlalu singkat buat ahli parlimen menjalankan peranan semak dan imbang.

Bagaimana nak perbaiki parlimen

Marzuki dan Azalina menjadi panelis webinar bertajuk "Haruskah parlimen menjadi institusi sepenuh masa?" anjuran Jeffrey Sachs Center for Sustainable Development Solutions Network bersama organisasi Asian Strategy and Leadership Incorporated.

Dua panelis lain Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen dan Maha Balakrishnan, pengarang bersama buku Malaysian Parliamentary Procedure: A Guide to the Standing Orders of the Dewan Rakyat berkisar Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Webinar ini kendalian Profesor Pengajian Tadbir Urus Universiti Sunway Wong Chin Huat.

Yii, yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi, mencadangkan supaya jawatankuasa tersebut diberi kuasa yang membolehkan jabatan dan agensi kerajaan memberi maklum balas terhadap cadangan PSC.

Marzuki juga setuju dengan penggunaan teknologi seperti telesidang video untuk memudahkan perbahasan parlimen atau perbincangan ahli parlimen yang menganggotai PSC.

Sementara itu, Maha pula bersetuju dengan keperluan untuk menambah jumlah hari parlimen bersidang jika lanjutannya dibuat untuk memperkuat fungsi semak dan imbang parlimen.

Azalina menyokong cadangan siaran langsung prosiding PSC melalui media dan mengusulkan supaya institusi parlimen bebas daripada cabang eksekutif dalam kerajaan.

[Baca laporan asal]