Berbagai dugaan, akhirnya warga emas dapat vaksin
Seorang warga emas, Mohd Ghazaly Md Yusoff akhirnya mendapat suntikan selepas dua kali membatalkan janji temu berikutan faktor pengangkutan dan lokasi penerimaan vaksin yang jauh.
Mohd Ghazaly, 62, mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Kegiatan Masyarakat Gopeng yang mula beroperasi semalam tanpa perlu ke PPV di Dewan Bandaran Kampar kira-kira setengah jam dari rumahnya.
"Saya tinggal berseorangan malah keadaan saya yang tidak boleh berjalan akibat kemalangan ketika membuat kerja mesin rumput pada tahun lepas membataskan pergerakan saya ke PPV yang jauh dari kediaman saya.
“Kini PPV baru itu hanya dua kilometer berhampiran rumah saya yang memudahkan pergerakan dan saya terus mendapatkan bantuan rakan bagi membawa saya mendapatkan suntikan,” katanya yang menaiki kerusi roda itu kepada Bernama selepas menerima suntikan tersebut.
PPV itu antara dua pusat yang mula dibuka semalam selain Dewan Besar Felcra Seberang Perak sekali gus menjadikan keseluruhan PPV awam di negeri ini sebanyak 22, selain sembilan PPV Khas di hospital dan 61 PPV swasta.
Tinjauan Bernama di dua PPV baru tersebut mendapati, proses vaksinasi berjalan lancar dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dipantau petugas Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain dibantu Sukarelawan Pembantu Vaksin Malaysia (MyVac) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),
Seorang lagi warga emas Lam Soon Hoon, 64, berasa lega dan gembira setelah menerima vaksin dos pertama bersama-bersama isteri Chau Yok Yeng, 53, dan mereka kini rasa lebih selamat untuk berada di tempat awam.
Sementara itu di KUALA NERUS, Terengganu, dua beradik warga emas bersyukur kerana hasrat mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama Covid-19 tercapai.
Zalillah Muda, 85, berkata lebih menggembirakan apabila beliau terpilih untuk menerima vaksin itu bersama adiknya, Aminah, 80, kedua-duanya berasal dari kampung Balai Maras di sini, di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
"Alhamdulillah, dapat juga saya dan Aminah menerima vaksin bersama-sama sebab kami memang dah janji untuk pergi berdua jika dapat janji temu tarikh yang sama.
"Kami berdua sangat akrab sejak kecil...memang akan bersama ke mana-mana sahaja seperti pergi kenduri kahwin, menziarahi keluarga, malah pergi mengundi pun bersama," katanya yang turut ditemani anaknya Zadil Hayat.
Walaupun dua beradik warga emas itu terpaksa menggunakan kerusi roda, mereka kelihatan sangat tenang dan ceria sepanjang proses mendapatkan vaksin.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai