Keluarga pekerja am mati dalam tahanan 2014 dapat pampasan RM300,000
Mahkamah memerintahkan keluarga pekerja am sebuah kilang Kamarulnizam Ismail hari ini untuk mendapat pampasan RM250,000 atas kecuaian dan RM40,800 untuk tuntutan tanggungan susulan kematiannya dalam tahanan pada 2014.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan oleh ibunya yang berusia 71 tahun, Rahaya Salleh mengenai pampasan susulan kematian anaknya itu.
Dalam keputusan sebulat suara oleh sidang tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Yaacob Md Sam, mahkamah juga memerintahkan pihak berkuasa untuk membayar RM5,000 sebagai kos guaman kepada keluarga.
Keputusan itu dibuat semasa prosiding dalam talian melalui Zoom
Pada 24 Jun, Mahkamah Rayuan sebahagiannya mengizinkan rayuan pihak berkuasa untuk menggugurkan pampasan mahkamah yang lebih rendah sebanyak RM100,000 kepada keluarga itu kerana penahanan yang tidak sah dan RM50,000 untuk salah guna jawatan awam (misfeasans).
Ketika itu, hakim yang bersidang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Ahmad Nasfy Yasin dan M Gunalan, meningkatkan kos undang-undang kepada keluarga yang diberikan oleh mahkamah lebih rendah iaitu daripada RM12,000 menjadi RM30,000 dan membenarkan ganti rugi khas keluarga sebanyak RM10,000.
Sebelum ini, peguam M Visvanathan (gambar, atas) yang mewakili keluarga itu berkata pihaknya menuntut RM71,400 untuk tuntutan tanggungan dan RM250,000 untuk jumlah kecuaian.
Pada Ogos 2019, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan tuntutan saman keluarga terhadap 12 individu dan kerajaan kerana kematian dalam tahanan serta memerintahkan keluarga Kamarulnizam dibayar RM100,000 kerana penahanannya yang menyalahi undang-undang, RM50,000 bagi salah laku dalam jawatan awam, RM12,000 bagi kos perbicaraan penuh dan RM2,000 bagi perbelanjaan pengebumian.
Walaupun mendapati kecuaian pihak berkuasa menyebabkan kematian Kamarulnizam, mahkamah rendah menolak tuntutan tanggungan oleh keluarga atas kematiannya di Penjara Tapah antara 7 dan 8 Mac, tujuh tahun yang lalu.
Kamarulnizam, seorang pekerja kilang, pertama kali ditahan di Balai Polis Bandar Perda di Pulau Pinang kerana kesalahan memiliki barangan curi pada bulan Mac 2014.
Dia kemudian didakwa mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dihukum penjara 14 hari serta denda RM800 sebelum dipindahkan ke penjara Tapah.
Selepas tiga hari berada di penjara, dia ditemui tidak sedarkan diri dalam sel penjara Tapah dan kemudian meninggal dunia di hospital Tapah.
Laporan bedah siasat mendapati Kamarulnizam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru yang teruk, namun keluarganya mendapati lebam pada badannya tidak konsisten dengan punca kematian, lantas membuat laporan polis.
Pada Mac 2017, ibu Kamarulnizam, Rahaya, memfailkan saman itu diwakili peguam M Visvanathan terhadap pihak-pihak berkenaan dan memohon ganti rugi bagi tanggungan, salah laku dalam jawatan awam, ganti rugi teruk, teladan dan khas.
Peguam kanan persekutuan Azizan Md Arshad dan Andi Razalijaya A Dadi mewakili pihak berkuasa dan kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai