'Waktu yang tepat untuk nyah jenayah cubaan bunuh diri'
Kerajaan pusat sekali lagi digesa untuk tidak lagi menjadikan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah, susulan kebimbangan meningkatnya kes bunuh diri di tengah wabak Covid-19.
Gesaan terbaru ini disuarakan NGO National Coalition on Mental Wellbeing (NCMW), sebuah inisiatif Rotary Malaysia.
Sementara itu, NGO Befrienders berkata pihaknya menerima 21,000 panggilan pada tahun ini, dengan sekurang-kurangnya 30 peratus panggilan berkaitan dengan bunuh diri.
Dalam sidang media atas talian semalam, ketua pasukan nyah jenayah NCMW Dr B Venugopal menggesa Seksyen 309 Kanun Keseksaan dimansuhkan segera.
Seksyen itu menetapkan seseorang yang ditangkap kerana cubaan membunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
"Jika seseorang cuba membunuh diri, itu tidak seharusnya menjadi jenayah. Ia adalah tindakan terdesak untuk meminta pertolongan. Ia bukan soal jenayah, tetapi masalah perubatan [...]
"Malangnya, undang-undang kita sekarang menganggap cubaan bunuh diri sebagai jenayah. Mereka menambah garam pada luka, melambatkan atau ada kalanya menafikan bantuan psikologi dan rawatan psikiatri yang sangat wajar diberikan kepada mereka.
"Tujuan kami ini adalah untuk meyakinkan kerajaan bahawa ini masa yang tepat untuk memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Pandemik ini memberi kesan kepada banyak orang [...]," katanya yang merupakan ahli kardiologi.
Peguam dan ahli pasukan M Ramachelvam berkata Malaysia adalah satu daripada 25 negara di yang masih menghukum cubaan bunuh diri.
Malaysia juga merupakan satu dari tiga negara Asean yang masih mengekalkan undang-undang tersebut.
Ramachelvam juga mencadangkan agar kerajaan membatalkan semua pendakwaan di bawah Seksyen 309 di mahkamah dan menguatkuasakan moratorium terhadap pendakwaan terhadap mereka yang melakukan percubaan bunuh diri.
"Kami juga mencadangkan agar Seksyen 10 dan 11 Akta Kesihatan Mental 2001 digunakan agar orang yang cuba bunuh diri menjalani penilaian psikiatri dan rawatan psikiatri," katanya lagi.
Pada Disember 2019, Pejabat Peguam Negara (AGC) dilaporkan sedang mengkaji "mekanisme" yang sesuai untuk nyah jenayah cubaan bunuh diri.
Setahun kemudian, iaitu pada Disember 2020, AGC berkata kajian itu masih dijalankan.
Jangan ancam dengan undang-undang
Dalam sidang media itu, ketua Befrienders Kuala Lumpur, Justin Gerard Victor menyentuh kes mahkamah terhadap mereka yang cuba membunuh diri.
Pada Februari 2020, Mahkamah Terengganu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kepada seorang lelaki kurang upaya kerana cuba membunuh dirinya.
Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Kuala Lumpur mendenda seorang penganggur RM3,000 kerana cubaan sama.
"Orang cuba bunuh diri kerana pelbagai jenis masalah.
"Tetapi, jika mereka ditangkap atau benar-benar meminta pertolongan setelah melakukan percubaan itu, ada kemungkinan mereka akan didakwa di mahkamah," katanya.
Untuk setiap kes bunuh diri yang dilaporkan, Justin bimbang kerana ada sebanyak 20 kes percubaan untuk melakukannya.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mendedahkan bahawa terdapat 336 kes bunuh diri dilaporkan antara Januari dan Mac tahun ini, kira-kira separuh daripada 631 kes yang dilaporkan seluruh tahun lalu.
Permintaan bantuan meningkat
Justin kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa Befrienders, yang menawarkan sokongan emosi secara percuma kepada individu yang meminta bantuan, telah menerima 21,000 panggilan telefon dan emel antara Januari hingga Jun tahun ini.
Dia menganggarkan sekitar "30 hingga 40 peratus" dari panggilan tersebut termasuk hasrat untuk membunuh diri.
Pada tahun lalu, ketika wabak Covid-19 mula melanda, Befrienders menerima 40,506 panggilan.
Sebanyak 36,154 panggilan yang diterima 2019 dan 30,075 panggilan pada 2018.
Sekiranya anda merasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi pihak di bawah untuk mendapatkan bantuan dan sokongan:
Pusat Kaunseling Agape Malaysia
- Talian Hotline: 03-77855955 atau 7781 0800
The Befrienders (https://www.befrienders.org.my/)
- Talian Hotline: 03-79568144 atau 03-79568145
Life Line Association Malaysia
- Talian Hotline: 03-42657995
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai