Pegawai imigresen: Tiada rekod tunjuk Joshua Hilmy keluar M'sia pada 2016
Tiada rekod yang menunjukkan paderi Joshua Hilmy, yang kini masih hilang, meninggalkan Malaysia pada 2016, menurut seorang pembantu pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia.
Junainh Dalugamin @ Daulgamin berkata demikian ketika pendengaran inkuiri berkenaan perkara itu yang dikendalikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.
Junainh yang merupakan saksi inkuiri berkata ia berdasarkan pemeriksaan yang dibuat dalam sistem imigresen.
Dia menjawab soalan yang dikemukakan wakil Majlis Peguam SP Chandra dalam pendengaran yang dibuat secara dalam talian.
Inkuiri diadakan bagi memastikan sekiranya Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu menjadi mangsa kehilangan secara paksa.
Pasangan itu kali terakhir dilihat pada 30 November 2016. Bagaimanapun mereka hanya dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.
Chandra: Ada rekod menunjukkan Hilmy meninggalkan Malaysia selepas Nov 2016.
Junainh: Pemeriksaan dengan jabatan kami mendapati tiada rekod. Rekod terakhir adalah berkenaan Hilmy kembali ke Malaysia pada 2012.
Dia merujuk dokumen bertulis menunjukkan "Tiada Rekod" berkenaan Hilmy meninggalkan Malaysia berdasarkan pasport dikeluarkan jabatan imigresen Pulau Pinang.
Menurut salinan dokumen yang ditunjukkan hari ini, pasport itu sah daripada 24 Nov 2015 hingga 24 Nov 2020.
Dia berkata rekod imigresen menunjukkan Hilmy, yang menggunakan pasport sebelum itu yang dikeluarkan di Sarawak, kali terakhir dia masuk ke Malaysia adalah menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pada 7 Jan 2012.
Sementara itu, ketika ditanya oleh Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus yang juga pengerusi panel inkuiri, dia berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah meletakkan Hilmy dalam senarai hitam perjalanan, berkuat kuasa 9 Oktober 2020.
"Status itu masih aktif," katanya lagi.
Menurutnya lagi, jabatan imigresen bekerjasama dengan agensi lain seperti polis dan LHDN dalam menghalang mana-mana individu daripada keluar dari Malaysia.
Ketika ditanya berkenaan sejarah perjalanan Sitepu - seorang warga Indonesia - Junainh berkata pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang rekod.
Dalam inkuiri hari ini, wakil pemerhati polis Muhammad Sabri merujuk sebuah dokumen yang mendakwa Hilmy pernah ditangkap dan dipenjara di Indonesia atas kesalahan imigresen.
Dia membangkitkan perkara itu ketika bertanya kepada Junainh sama ada pihak imigresen dapat mengesan kemasukan Hilmy ke Malaysia jika dia pernah ditahan di Indonesia.
Menurut sebahagian daripada dokumen itu, Hilmy didakwa dihukum penjara selama lima tahun di Indonesia atas kesalahan pasport tamat tempoh dan selepas itu, seorang pegawai polis didakwa membantunya untuk kembali ke Malaysia.
Bagaimanapun, Hishamudin kemudian berkata dokumen itu tidak menunjukkan secara jelas berkenaan apa sebenarnya yang berlaku, antaranya bagaimana Hilmy kembali ke Malaysia, dan ia sebaliknya ditulis seperti sebuah cerita.
Inkuiri dijadual bersambung pada 16 Julai ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai