Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Panduan pengudaraan dijangka diumum minggu ini

Kerajaan dijangka mengumumkan garis panduan pengudaraan dalaman yang ditunggu-tunggu minggu ini, kata penasihat khas kesihatan perdana menteri Dr Jemilah Mahmood.

Dia sebelum ini berulang kali menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengeluarkan garis panduan itu sejak sebulan lalu.

Ketika ditanya mengenai perkara itu hari ini, Jemilah mengatakan bahawa dokumen yang akan diumumkan itu akan merangkumi garis panduan untuk ruang dalaman yang berbeza.

“Garis panduan pengudaraan dalaman telah dibahas dalam mesyuarat MKN. Saya yakin ia akan dikeluarkan minggu ini.

"Terdapat kerjasama yang sangat baik dengan Akademi Sains Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

"Kita harus membuat panduan untuk berbagai situasi (seperti) tempat kerja, rumah, hospital, pusat kuarantin dan pusat pengagihan vaksin," katanya kepada pemberita di Lembah Jaya, Ampang.

Dia sebelum ini mengikuti program pemberian vaksin di lokasi untuk seorang wanita tua yang terlantar di rumah.

Sebilangan besar kes Covid-19 ketika ini berpunca dari jangkitan di tempat kerja.

Dari 13 kluster baru yang diumumkan semalam (13 Julai), 11 adalah kluster tempat kerja.

Pada 1 Mac, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan garis panduan terperinci mengenai pengudaraan dalaman untuk mengurangkan penularan Covid-19.

"Memahami dan mengawal pengudaraan bangunan dapat meningkatkan kualiti udara yang kita hirup dan mengurangkan risiko masalah kesihatan dalaman termasuk mencegah virus yang menyebabkan Covid-19 merebak di dalam rumah," katanya.

Menurut garis panduan WHO, bagi lokasi bukan kediaman, ia termasuk menggunakan pembersih udara dengan penapis Hepa dan kipas, memasang pengekstrak udara serta membuka tingkap jika boleh.

Pada 25 Mei, kerajaan Singapura mengeluarkan panduannya untuk pengudaraan di ruang tertutup termasuk pusat beli-belah, pejabat, kedai makan, kedai runcit, pasar dan asrama pekerja.