Tukang gunting di Kelantan utamakan lengkap vaksinasi
Persatuan Pengusaha Mesin Rambut di Kelantan mengambil inisiatif dengan mengutamakan pelanggan yang sudah lengkap divaksin.
Presidennya, Mohd Anuar Mohamad, berkata perkara itu diputuskan hasil mesyuarat jawatankuasa persatuan sebaik kerajaan membenarkan kedai gunting beroperasi semula mulai hari ini.
Jelasnya, pendekatan itu diambil sebagai galakan kepada orang ramai agar mengambil suntikan vaksin Covid-19 dan selain melindungi pengusaha gunting rambut daripada dijangkiti Covid-19.
"Peraturan itu bagi memberi kepercayaan kepada pelanggan agar tidak bimbang untuk menggunting rambut di semua premis yang mendaftar sebagai ahli persatuan.
"Justeru, mereka yang lengkap vaksin dua dos perlu menunjukkan kepada kami sebagai bukti. Namun, ia tidak bermakna pelanggan yang belum divaksin tidak diterima sebagai pelanggan.
"Mereka yang belum disuntik atau baru disuntik dos pertama perlu memaklumkan kepada pengusaha agar mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan jangkitan," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Dalam perkembangan itu Mohd Anuar berkata, setakat ini 30 peratus ahli persatuan sudah melengkapkan suntikan vaksin dan pihaknya berharap kerajaan mempercepatkan lagi proses suntikan.
Terdahulu, kedai gunting dibenarkan beroperasi dalam Fasa 2 kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kelantan antara lima negeri yang diumumkan dikuat kuasa dalam Fasa 2 PPN selain Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai