Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

2 lelaki lari tinggalkan dadah bernilai lebih RM2 juta

Sejumlah RM2.076 juta dadah dirampas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Kelantan, di Kuala Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mat Piah berkata, pada kejadian 4.30 petang itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tumpat dalam tugasan Operasi Tapis melihat pergerakan dua lelaki beredar keluar dari tebing sungai dengan menaiki bot galah menuju ke Takbai, Thailand.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi tersebut pihak polis menjumpai dua bungkusan plastik hitam di tebing berkenaan.

"Barang kes dibawa ke IPD Tumpat dan pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi satu guni berisi 29 bungkusan plastik berwarna hijau bertulisan Guanyinwang disyaki dadah jenis syabu seberat 29 kilogram (kg).

"Pemeriksaan bungkusan kedua pula didapati terdapat tujuh plastik berwarna keemasan bertulisan 888 Guanyinwang berisi tujuh ketulan mampat kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 7kg.

"Selain itu guni kedua juga terdapat 24 bungkusan berwarna coklat dibalut dengan plastik lut sinar berisi ketulan mampat berwarna putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 8.4kg," katanya pada sidang media di IPD Tumpat, hari ini.

Tambahnya hasil rampasan itu dianggarkan membabitkan nilai RM2.076 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh menampung seramai 222,000 penagih.

"Siasatan lanjut dan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal dan penerima dadah yang dirampas," jelas Abdullah.