Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Kelantan bersiap kenaikan kes Covid-19 menjelang Aidiladha

Jabatan Kesihatan Kelantan melakukan persiapan berdepan kemungkinan peningkatan kes Covid-19 menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai.

Secara kebetulan, Kelantan juga mulai mengalami pelonggaran sekatan pergerakan selepas ia beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negarahari ini, walaupun perjalanan rentas negeri dan antara daerah masih dilarang.

"Persiapan telah dibuat di semua hospital, klinik kesihatan dan bahkan di pusat kuarantin dan rawatan pesakit berisiko rendah (PKRC) sekiranya kes Covid-19 meningkat lagi," kata Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin (gambar atas).

Dia mengingatkan bahawa di tengah munculnya varian Covid-19 baru yang lebih ganas, mereka yang pulang ke Kelantan pada musim perayaan boleh menyebabkan peningkatan kes.

Walaupun perjalanan rentas negeri dilarang, segelintir pihak melanggar larangan itu pada perayaan sebelumnya.

Zaini menegaskan bahawa rakyat tidak boleh leka walaupun kes di negeri itu telah menurun.

Purata tujuh hari kes Covid-19 harian baru di Kelantan adalah 120 pada semalam, di bawah ambang 234 untuk Fasa 2.

"Jumlah kecil kes Covid-19 yang dicatatkan di peringkat negeri tidak bermaksud kita boleh leka.

"Ini adalah cabaran bagi jabatan dan masyarakat. Ini bukan masanya mereka boleh berseronok.

"Mereka mesti terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," kata Zaini.

Selain Kelantan, negeri lain yang beralih ke Fasa 2 ialah Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.

Fasa 2 membolehkan lebih banyak perniagaan beroperasi tetapi kebanyakan sekatan pada sektor bukan perniagaan dikekalkan.