Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya tolong semua - Rina perjelas agihan bakul makanan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun menegaskan agihan Bantuan Bakul Makanan di kawasan Parlimen Titiwangsa dibuat secara menyeluruh bagi memastikan tiada golongan memerlukan, yang tertinggal.

"Saya tolong semua, saya tak pernah tanya mereka orang (kawasan) mana ketika memberi bantuan.. ada antara penerima bukan penduduk Parlimen Titiwangsa, tidak daftar mengundi pun, kita bantu semua tak kira latar belakang dan di mana mereka berada," katanya kepada pemberita.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata setakat ini 10,000 Bantuan Bakul Makanan telah diagihkan di kawasan Parlimen Titiwangsa, dan selain itu individu yang layak turut diberikan bantuan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan seorang penduduk di Titiwangsa di Kuala Lumpur yang mengatakan bahawa ada permohonan bantuan bakul makanan ditolak kerana pemohon merupakan pengundi kawasan parlimen lain.

Terdahulu, Rina menyantuni sebuah keluarga yang memerlukan bantuan di Taman Maluri di Kuala Lumpur hari ini melalui program Kembara Prihatin Negara@Kongsi Rezeki (KPN).

Beliau berkata melalui program KPN itu bantuan keperluan asas turut diagihkan kepada penduduk di beberapa PPR terlibat hari ini, antaranya PPR Flat Sungai Baru, Perumahan Awam Seri Perlis 1 dan PPR Laksamana di Jalan Peel.

Menurutnya setakat ini KPN telah memberi manfaat kepada 669,727 orang, melibatkan sumbangan daripada 4,035 syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pihak yang mahu memberi sumbangan untuk program KPN boleh menghubungi Yayasan Kebajikan Negara dengan menelefon 03-83232424 atau 019-2938236.

- Bernama