Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Sepang bantu 14 pekerja kilang sarung tangan kehabisan makanan

Sepasukan anggota dari balai polis daerah Sepang menyampaikan bantuan makanan segera kepada 14 pekerja kilang sarung tangan yang sedang menjalani kuarantin Covid-19 di sebuah rumah di Taman Bunga Raya malam tadi.

Polis Sepang di laman Facebook mereka mengatakan bahawa mereka menerima panggilan daripada seorang wanita pada pukul 8.10 malam semalam, yang memaklumkan bahawa abangnya - seorang pekerja di WRP Asia Pacific Sdn Bhd - kehabisan makanan, bersama 13 rakan serumah yang lain.

"Bertindak atas maklumat tersebut atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sosial, Ketua Polis Daerah Sepang iaitu ACP Wan Kamarul Azran bin Wan Yusof telah mengambil tindakan susulan dengan mengarahkan supaya bantuan makanan segera dihantar ke rumah tersebut.

"Pada 3 Julai jam lebih kurang 9.15 malam, anggota tugas Unit MPV IPD Sepang (SL 1211) telah sampai ke premis tersebut dan menyerahkan sebanyak 16 bungkus nasi berlauk kepada penghuni rumah," kata Polis Sepang di Facebook.

Bulan lalu, pengurusan WRP Asia mengesahkan bahawa ujian besar-besaran terhadap 2,838 pekerja mendedahkan 838 kes Covid-19.

Pada waktu itu, WRP Asia mengatakan, sesuai dengan peraturan yang ditetapkan, pekerja yang telah diuji negatif sedang dalam proses pindah ke fasiliti pihak ketiga yang dipersetujui.

Malaysiakini telah menghubungi pihak pengurusan WRP Asia untuk memberi komen mengenai keadaan pekerjanya yang kini berada dalam kuarantin.