Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenduri durian: Polis panggil Rashid Hasnon, 14 yang lain

Polis memanggil 15 individu termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon bagi membantu siasatan berhubung klip video yang menunjukkan sekumpulan individu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di sebuah kebun durian, di Batu Pahat, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata, wakil rakyat berkenaan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada pukul 3 petang, Khamis lepas.

"Polis selesai merakam keterangan kesemua 15 individu berkenaan dan akan melengkapkan siasatan serta merujuk kes itu kepada Pejabat Pendakwa Raya.

"Kes akan disiasat mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

Terdahulu, rakaman video selama 13 saat yang memaparkan ahli parlimen Batu Pahat itu bersama sekumpulan individu lain menikmati acara makan durian, tersebar di media sosial.

Pada mulanya dia berkata acara itu berlaku tahun lalu. Pembantunya juga mengatakan kehadiran individu di pesta durian itu dengan memakai pakaian yang sama dengan acara sebelumnya di Majlis Perbandaran Batu Pahat pada Ahad lalu, berlaku secara "kebetulan".

Bagaimanapun warga maya mempertikaikan penjelasan itu dengan mengemukakan beberapa perkara dalam rakaman video yang menurut mereka menunjukkan ia bukannya berlaku pada tahun lalu.

Rashid kemudian mengaku menyertai kenduri durian berkenaan dan meminta maaf atas kesalahannya.