Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bomba: Kawat duri di tangga PPR telah dibuang

Kawat duri yang dipasang pada sebuah tangga di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, telah dibuang, menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Hamdan Wahid.

Hamdan berkata, dia telah membuat pengesahan terhadap apa yang berlaku dan mengarahkan langkah pembetulan dibuat.

"Kawat duri kini hanya dipasang di (aras) bawah sekali selepas exit terakhir.

"Ia tak menghalang laluan pelepasan diri (jika berlaku kebakaran)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, beberapa gambar memaparkan anggota tentera memasang kawat berduri di tangga perumahan awam kos rendah membangkitkan kebimbangan berkenaan risiko ancaman keselamatan dan kebakaran.

Pengguna Facebook bernama Azizul Azwar Abdul Aziz yang juga seorang arkitek, berkata sebarang halangan di tangga akan membawa risiko kepada penduduk jika berlaku kebakaran.

"Saiz, lokasi dan jumlah tangga direka dan disusun oleh arkitek bagi memastikan semua penduduk boleh keluar dari bangunan jika berlaku kebakaran," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dia juga mengongsikan tiga gambar daripada agensi berita Bernama, yang diambil di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur semalam.

Gambar itu menunjukkan anggota tentera memasang kawat berduri di bahagian bawah tangga, yang turut menghalang akses ke alat pemadam kebakaran yang dipasang di dinding bangunan.

Azizul berkata, sekatan ke mana-mana tangga di sebuah bangunan boleh menyebabkan kesesakan di tangga lain yang tidak disekat, terutama ketika berlakunya kebakaran.

"Jika ada dua atau tiga tangga ditutup, maka kapasiti yang perlu ditanggung oleh tangga yang masih dibuka akan meningkat dan ini boleh mengakibatkan aliran keluar (dari bangunan) tergganggu akibat kesesakan.

"Lagipun semasa bangunan terbakar, tak boleh pakai lif. Mana lagi cara nak lari ke bawah?" soalnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Azizul menjelaskan yang tindakan menghalang mana-mana tangga melanggar Undang-undang Bangunan Seragam 1984.

Beberapa individu lagi turut membangkitkan kerisauan sama, antaranya pemimpin DAP Liew Chin Tong dan pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee.

Menurut Bernama, kawat duri itu dipasang susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di sebahagian besar Selangor dan sejumlah kawasan di Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 16 Julai ini.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tiada kawat duri yang akan dipasang di 34 mukim yang terlibat di negeri itu.

Polis: Kawat boleh dibuka dengan cepat jika ada kecemasan

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata pemasangan kawat tersebut dibuat setelah dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri bomba, untuk mengalang penduduk daripada keluar masuk bangunan tersebut.

Dia juga berkata terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk di blok tersebut untuk keluar sekiranya berlaku kecemasan.

"Selain itu, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan siap siaga dalam mengadapi sebarang kemungkinan.

"Sekiranya berlaku kecemasan, pihak ATM mampu membuka kawat duri tersebut dalam tempoh masa yang singkat. Polis dan ATM juga sentiasa berada di laluan tersebut untuk memantau situasi semasa," katanya dalam kenyataan.