Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jika PM terus membisu, PH seru MP kumpul di parlimen 19 Julai

KEMASKINI 3.03 petang | Selepas penerbitan berita ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memutuskan akan memanggil sidang parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pakatan Harapan memberi kata dua kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkan langkah-langkah konkrit supaya parlimen bersidang sebelum 1 Ogos selaras hasrat Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Presiden PH berkata jika Muhyiddin tidak mengumumkan apa-apa pada hari Isnin depan (5 Julai), maka ahli parlimen akan berkumpul di bangunan Parlimen Malaysia dua minggu dari itu pada 19 Julai.

"Oleh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai 2021, maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada Pembangkang mahupun Kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai 2021," kata satu kenyataan hari ini.

Pernyataan itu ditandatangani bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan "secepat mungkin," maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin pada 16 Jun lalu.

Kemudian Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan segera.

Gambar fail, sidang parlimen lalu ikut SOP pandemik.

Pandangan Seri Paduka itu disampaikan ketika menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Rais Yatim dan Azhar Harun di Istana Negara pada 29 Jun lalu.

Majlis Presiden PH turut meneliti kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 30 Jun selepas mengadap Agong, bahawa satu persidangan khas parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021 dicadangkan kepada perdana menteri.

Kerajaan mengisytiharkan darurat dikuatkuasakan pada 11 Januari lalu dan akan berakhir pada 1 Ogos.