Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan arah Mkini bayar RM550,000 kes saman syarikat lombong

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Malaysiakini terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah sebelum ini untuk membenarkan saman fitnah oleh Raub Australian Gold Mining (RAGM).

Seiring dengan keputusan itu, mahkamah memerintahkan Malaysiakini membayar RAGM sebanyak RM550,000 sebagai ganti rugi dan kos (peningkatan daripada jumlah RM350,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2018).

Keputusan itu terbahagi 3-2 daripada panel lima hakim yang bersidang, dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat.

Keputusan majoriti menolak rayuan Malaysiakini dibacakan oleh anggota hakim yang bersidang, Abdul Rahman Sebli. Anggota hakim lain yang menyokong keputusan majoriti ialah Zaleha Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Keputusan minoriti yang menyokong membenarkan rayuan Malaysiakini, dibacakan oleh Hakim Harmindar Singh Dhaliwal. Hakim Vernon juga sebahagian daripada keputusan minoriti.

Peguam Cyrus Das mewakili Malaysiakini manakala Cecil Abraham mewakili RAGM.

Pada tahun 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan yang berpihak kepada Malaysiakini, dengan alasan bahawa organisasi berita tersebut berjaya mempertahankan kewartawanan dan laporan mereka yang bertanggungjawab.

Pelaporan menjadi hujah pembelaan terhadap tuntutan saman fitnah, biasanya melibatkan organisasi media yang menerbitkan semula tuduhan yang tidak terbukti mengenai tokoh masyarakat selagi pelaporan itu tidak berat sebelah dan demi kepentingan umum.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan Malaysiakini tidak bertindak dengan niat jahat.

Pada tahun 2018, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut, berkata Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan dalam undang-undang semasa mempertahankan laporan terbabit yang "bersifat tuduhan dan tidak seimbang serta tidak adil."

Mahkamah Rayuan memerintahkan Malaysiakini membayar ganti rugi RM200,000 dan kos RM150,000. Hari ini, Mahkamah Persekutuan mengenakan kos tambahan sebanyak RM200,000.

Malaysiakini tidak akan meminta sumbangan orang ramai memandangkan keadaan ekonomi akibat Covid-19. Portal berita ini akan menggunakan tabung pembelaan undang-undangnya.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan hari ini berkata keputusan tersebut merupakan tamparan hebat terhadap kewartawanan demi kepentingan awam.

"Kami kesal dengan keputusan itu. Kami menjalankan tugas kami sebagai wartawan dalam melaporkan masalah kesihatan penduduk Bukit Koman.

Steven Gan 

"Dalam keputusan sebelum ini yang melibatkan tuntutan undang-undang yang diajukan oleh syarikat lombong emas terhadap penduduk kampung, mahkamah yang sama dalam memberikan kemenangan kepada penduduk kampung berkata mereka berhak untuk menyatakan keprihatinan mereka terhadap perlombongan emas itu.

"Namun, dalam kes kami, kami didapati melakukan fitnah kerana melaporkan apa yang mereka katakan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran pula berkata portal ini akan terus melaporkan berita dan menyiarkan pandangan dengan tepat dan berimbang, tanpa rasa takut atau memihak.

“Rakyat Malaysia berhak ke atas perkara itu,” katanya.

Premesh Chandran 

Premesh mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam Malaysiakini dan semua pihak yang mendukung portal ini sejak awal.

Malaysiakini tidak meminta bantuan orang ramai untuk membayar ganti rugi dan kos yang ditetapkan mahkamah.

Terdapat lebihan RM270,000 dalam sumbangan orang ramai untuk menyelesaikan denda menghina mahkamah kerana komen pembaca yang dikenakan sebelum ini.

Orang ramai boleh melanggan Malaysiakini bagi diri sendiri atau menghadiahkan kepada pihak lain.

Tiga tahun lalu, Malaysiakini berjaya mengumpulkan RM350,000 bagi menampung jumlah ganti rugi dan kos yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan.

Ringkasan penghakiman hakim-hakim boleh dibaca di sini:

Langgan atau tambah tempoh langganan anda.

[Baca laporan asal]